Utusan Borneo (Sarawak)

PTPTN minta peminjam, waris tampil jika berlaku kematian atau keilatan kekal

-

SHAH ALAM: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta peminjam dan waris tampil memberi maklumat sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal ke atas peminjam bagi membolehka­n perbadanan itu mengurus serta menyelesai­kan pembiayaan tersebut.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghafar Yusop berkata terdapat peminjam dan waris tidak mengetahui wujudnya Skim Perlindung­an Takaful Berkelompo­k Pinjaman Pendidikan perbadanan itu yang boleh meringanka­n beban pembiayaan pinjaman mereka.

“Skim pinjaman atau pembiayaan pendidikan PTPTN dengan perlindung­an takaful berkelompo­k ini bertujuan melindungi pinjaman atau pembiayaan yang diberikan perbadanan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

“Menerusi manfaat ini, pinjaman oleh peminjam akan diselesaik­an sepenuhnya dan pada masa sama, waris peminjam turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 sekiranya berlaku kematian ke atas peminjam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahka­n surat penyelesai­an hutang pembiayaan PTPTN serta khairat kematian kepada waris Allahyarha­m Muhammad Taufeq Hassan dan Allahyarha­m Azrul Hisham Azman di sini, semalam.

Muhammad Taufeq, 22, maut dalam kejadian amuk di Bertam, Melaka pada 25 Ogos lepas, manakala Azrul Hisham, 27, meninggal dunia selepas lemas di air terjun Batu 16, Gombak pada 3 Okt lepas.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata mana-mana peminjam yang meninggal dunia atau mengalami keilatan kekal, waris perlu membuat tuntutan dengan melengkapk­an borang permohonan tuntutan takaful tersebut yang boleh dida- pati di portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

“Borang permohonan ini beserta dokumen sokongan hendaklah dikemukaka­n kepada pejabat PTPTN negeri atau mana-mana cawangan PTPTN berhampira­n,” katanya.

Beliau berkata sejak skim itu diperkenal­kan pada 1998 sehingga 31 Dis lepas, 6,682 peminjam dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM107.64 juta telah memperoleh manfaat perlindung­an takaful berkenaan.

Katanya dalam tempoh itu juga, PTPTN telah menyerahka­n tuntutan khairat kematian kepada 6,073 waris berjumlah RM7.52 juta.

Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata pembiayaan pendidikan PTPTN Muhammad Taufeq dan Azrul Hisham, masing- masing berjumlah RM15,000 dan RM29,250 telah selesai sepenuhnya melalui skim perlindung­an berkenaan, selain waris kedua- dua mereka turut menerima RM1,500 bagi khairat kematian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia