KeTTHA perkenal Projek Pembungkusan Green Blue mesra alam
PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melancarkan inisiatif Projek Mewujudkan Industri Pembungkusan Green- Blue ( GB) sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui pewujudan rantaian nilai industri pembungkusan GB.
Kementerian itu dalam satu kenyataan kelmarin berkata, pembungkusan GB adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaik pulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan perniagaan.
Menurut kementerian tersebut, inisiatif di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang menerima pembiayaan sebanyak RM10 juta itu bertujuan melestarikan industri penghidangan makanan serta menggalakkan peralihan kepada pembungkusan mesra alam dan mengurangkan pembuangan pembungkusan makanan ke tapak pelupusan sisa pepejal.
“Agensi penyelidikan dan teknologi perindustrian, SIRIM telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek perintis yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menceburi industri ini,” kata KeTTHA.
Di bawah inisiatif tersebut, sistem pencernaan anaerobik akan diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaik pulih sumber dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
“Beberapa premis makanan yang terpilih akan dibekalkan bekas pembungkusan makanan GB sepanjang tempoh rintis projek ‘ Premis Makanan Hijau’, serta dibekalkan satu sistem pencernaan anaerobik untuk pengolahan sisa makanan,” kata kementerian itu. — Bernama