Utusan Borneo (Sarawak)

Komando diketuai AS serbu, bunuh 2 operatif IS di Syria

-

WASHINGTON: Satu pasukan komando yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) telah membunuh dua orang operatif kumpulan Negara Islam ( IS) di Syria dalam satu serbuan pada hujung minggu, seorang pegawai pertahanan AS mengesahka­n kelmarin.

Operasi di wilayah timur Deir Ezzor pada Ahad lepas telah menarik perhatian antarabang­sa yang ketara selepas Syrian Observator­y for Human Rights, sebuah badan pemerhati bebas, menyatakan 25 orang pejuang jihad telah terkorban.

Pegawai pertahanan memberitah­u AFP hanya dua orang operatif IS meninggal dunia, termasuk Abu Anas al-Iraqi, seorang “operatif kanan”.

Rangkaian televisyen AS, ABC News memetik seorang pegawai pencegah keganasan sebagai menyatakan dia adalah seorang ketua “utama” IS.

Pegawai pertahanan, bercakap dengan syarat identiti dirahsiaka­n, memberitah­u wartawan AFP dua orang lelaki terkorban dalam sebuah kenderaan di sebatang lebuh raya terpencil kira- kira 50 kilometer dari bandar Deir Ezzor.

Deir Ezzor merupakan wilayah kedua paling besar di Syria selepas Homs.

Sejak awal 2015, para pejuang jihad telah menawan bandar utama wilayah, juga dikenali sebagai Deir Ezzor, kediaman bagi kirakira 200,000 orang penduduk.

Pegawai itu menyatakan operasi khas telah diketuai oleh pasukan tentera AS, namun para komando dari negara lain di dalam pasukan pakatan anti-IS telah turut hadir.

Menurut laporan ABC News, lelaki di dalam kenderaan telah melepaskan tembakan ke arah beberapa buah helikopter yang mengekorin­ya.

Helikopter tersebut telah membalas tembakan, mengorbank­an penumpang kenderaan, menurut laporan ABC News. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia