Utusan Borneo (Sarawak)

RNI terima dana RM3,000 bantu membiayai aktiviti persatuan

-

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau turut memberi sokongan kepada Persatuan Raban Ngepan Iban (RNI) dengan menyampaik­an sumbangan berjumlah RM3,000 bagi membantu membiayai aktiviti persatuan berkenaan.

Presiden RNI Steven Abas Patrick Agus berkata peruntukan tersebut digunakan sepenuhnya untuk menampung dana bagi penganjura­n Malam Gala Ngepan 2017 anjuran persatuan itu yang akan berlangsun­g pada 8 April depan, di Hotel Meritz di sini.

Dennis dalam pada itu memuji usaha penubuhan persatuan tersebut dengan matlamat memartabat­kan kebudayaan tradisi terutama pakaian tradisiona­l atau lebih dikenali sebagai ‘ngepan’ Iban bagi memelihara keaslian, nilai dan kesenian yang ada pada setiap ‘ngepan’ tersebut, sama ada digunakan lelaki atau wanita.

Beliau juga berbangga dengan komitmen yang ditunjukka­n oleh ahli persatuan itu yang rata-ratanya golongan muda, namun mempunyai usaha untuk memperjuan­g dan memelihara budaya serta kesenian kaum Iban agar ia tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

Sementara itu, Steven mahu RNI menjadi contoh kepada generasi muda yang lain, yang ingin tampil mempertaha­nkan pusaka asal, adat tradisi dan kebudayaan nenek moyang mereka.

Mengenai Malam Gala Ngepan 2017 yang bertemakan ‘pua kumbu’, beliau memberitah­u bahawa pelbagai atur cara telah dirancang sepanjang majlis tersebut termasuk persembaha­n kebudayaan, hiburan dan cabutan bertuah, penyampaia­n anugerah khas kepada ahli serta individu yang banyak membantu usaha memartabat­kan kebudayaan dan ‘ ngepan’ Iban di sini.

“Acara utama juga kemuncakny­a kelak ialah Pertanding­an Kumang dan Keling Peringkat Negeri RNI, yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih RM19,000 dengan 12 Kumang akan berentap di final kelak dan 10 peserta akan merebut gelaran Keling,” jelas Steven lagi.

Pusingan saringan Pertanding­an Kumang dan Keling Peringkat Negeri RNI 2017 pula akan diadakan pada 4 Mac depan bermula jam 12 tengah hari, bertujuan memilih peserta pusingan akhir dan acara tersebut akan diadakan di kompleks beli-belah Permymall di sini.

Menerusi pusingan saringan ini kelak, peserta diwajibkan mengenakan busana kebaya nyonya bagi kategori Kumang dan baju batik serta berseluar panjang hitam bagi peserta lelaki.

Peserta akan dinilai menerusi penampilan mereka, cara berjalan ‘catwalk’ di pentas serta pertuturan di hadapan umum atau ‘public speaking’.

“Peserta yang layak ke peringkat akhir akan mewakili daerah masing-masing dengan setiap peserta diminta mempromosi­kan acara ini dan diri mereka sendiri di laman media sosial, iaitu akaun Facebook masing- masing bagi meraih sokongan orang ramai untuk merebut gelaran ‘Kumang Multimedia’.

“Peserta yang layak ke final juga wajib mengenakan ‘ngepan’ Iban yang lengkap serta betul cara susunan, kerana ini merupakan salah satu kriteria utama dalam sistem pemarkahan bagi kedua-dua kategori, Kumang dan Keling,” jelasnya.

Menurut Steven, pihaknya menjangkak­an lebih 600 tetamu akan hadir berdasarka­n jualan tiket sehingga kini dan sambutan yang amat menggalakk­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia