Utusan Borneo (Sarawak)

LELAKI MAUT, MOTOSIKAL TERBABAS LANGGAR BESI PENGHADANG JALAN

-

KUCHING: Seorang lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggang­inya terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 54 Jalan Kuching-Serian semalam.

Mangsa ialah Segaya Biaw berusia 53 tahun dan berasal dari Kampung Triboh, Serian.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Sarawak ASP Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikaln­ya seorang diri dari arah Kuching menuju ke Serian sekitar jam 12.25 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa sedang bergerak lurus dari arah Kuching menuju ke Serian di lorong sebelah kanan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan sehingga menyebabka­n mangsa tercampak dari atas motosikaln­ya,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat,” kata Mathew

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki dikhuatiri mengalami patah tulang kaki dan tangan selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang­inya terbabas di Jalan Tabuan, di sini sekitar jam 2 pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa, 44, berasal dari Jalan Stampin semasa kejadian dipercayai dalam perjalanan pulang semasa kemalangan tersebut berlaku.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatka­n rawatan lanjut.

 ??  ?? PERIKSA: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa kemalangan jalan raya di Kilometer 54 Jalan Kuching-Serian semalam.
PERIKSA: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa kemalangan jalan raya di Kilometer 54 Jalan Kuching-Serian semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia