Utusan Borneo (Sarawak)

Dua pemuda curi barang kemas dipenjara dua tahun

-

SIBU: Dua pemuda masing-masing dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri rantai emas dan gelang kaki emas dari sebuah kedai di pekan Selangau, 10 Februari lepas.

Alexson Rominie dan Ronnie Robin, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen ini memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit dengan kesalahan, bagi kesalahan kali pertama.

Mereka didakwa dengan niat bersama mencuri rantai emas dan gelang kaki emas itu pada 10 Februari, 2017, sekitar jam 4.25 petang di sebuah kedai di pekan Selangau.

Berdasarka­n fakta kes, pengadu juga pemilik kedai, Yap Lai Kiew dalam laporan polis memberitah­u telah didatangi dua lelaki berpura-pura hendak membeli pengecaj bateri telefon bimbit dan minuman.

Semasa pengadu sedang mencari pengecaj bateri telefon, tiba-tiba kedua-dua lelaki tersebut terus keluar dari kedai dan melarikan diri.

Yap kemudian pergi ke kaunter dan mendapati beberapa utus rantai emas dan gelang kaki emas telah tiada dipercayai telah dicuri oleh kedua-dua lelaki tersebut.

Ketika kejadian, hanya pengadu seorang sahaja di kedai dan kerugian dianggar lebih kurang RM20,000.

Berikutan laporan polis dibuat, pihak polis telah menahan dua suspek pada 18 Februari 2017 di Sarikei untuk membantu siasatan.

Siasatan pihak polis juga mendapati rantai emas dan gelang kaki emas yang dicuri itu telah dijual ke sebuah kedai emas di Sarikei dengan harga RM1,630.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia