Utusan Borneo (Sarawak)

Exco k’jaan Johor direman seminggu bantu siasatan

-

JOHOR BAHRU: Seorang anggota Exco kerajaan negeri Johor yang ditahan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan penyelewen­gan hartanah di negeri ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Nur Sulehan Abd Rahman membenarka­n permohonan SPRM untuk menahan reman Exco lelaki berumur 51 tahun itu sehingga 16 Mac.

Terdahulu, Exco terbabit yang memakai baju-T lokap SPRM berwarna oren dan diiringi anggota SPRM, tiba di Kompleks Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, pada jam 9.11 pagi.

Bagaimanap­un, Exco berkenaan yang dibawa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda agensi itu, hanya keluar kira-kira sejam kemudian untuk prosiding reman itu.

Selepas prosiding berakhir pada jam 11.20 pagi, Exco berkenaan dibawa ke pejabat SPRM Johor, di sini.

Exco itu, yang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri sejak 1 Mac sehingga siasatan berhubung rasuah dan penyelewen­gan hartanah itu selesai, ditahan SPRM pagi semalam di pejabat SPRM Johor selepas mem- beri keterangan berhubung kes penyelewan­gan hartanah dan rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki yang dihubungi Bernama kelmarin berkata Exco itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan disiasat berkaitan pengubahan wang haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM turut merampas 150 beg tangan pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toy- ota Vellfire dan wang tunai berjumlah RM41,000 hasil geledah di rumahnya di sini semalam, sejurus selepas penahanan dilakukan.

Sebelum ini, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang Exco pada 24 Feb dan menahan seorang kontraktor lelaki pada 28 Feb setelah dipercayai terlibat rasuah dan penyelewen­gan hartanah.

Tiga daripada tujuh individu, iaitu dua pemaju dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 dan 7 Mac lepas, sementara empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM, kelmarin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia