Utusan Borneo (Sarawak)

Pelaburan modal teroka, ekuiti swasta meningkat kepada RM570 juta pada 2016

-

KUALA LUMPUR: Jumlah pelaburan modal teroka dan ekuiti swasta meningkat sebanyak 237 peratus kepada RM570 juta pada 2016 berbanding RM169 juta pada 2006.

Suruhanjay­a Sekuriti (SC) berkata bilangan syarikat modal teroka dan ekuiti swasta yang berdaftar dengannya juga meningkat 20 peratus kepada 109 pada 2016 daripada 91 pada 2006.

Dalam Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarka­n kelmarin, SC berkata, modal teroka merupakan sumber pembiayaan penting untuk syarikat peringkat permulaan mencapai pertumbuha­n yang mewujudkan nilai melalui inovasi.

Industri modal teroka Malaysia telah ditubuhkan pada 1984 dengan pembentuka­n Malaysia Ventures Sdn Bhd.

“Pelbagai dana modal teroka telah dibentuk secara beransur-ansur, dan jumlah modal yang ada meningkat secara ketara kepada RM6.5 bilion pada 2016 daripada RM3.3 billion pada 2006,” menurut suruhanjay­a itu.

SC berkata sektor popular untuk pelaburan modal teroka termasuk sains hayat, teknologi maklumat dan komunikasi, serta pembuatan.

Sejajar dengan usaha kerajaan menggalakk­an pertumbuha­n syarikat di peringkat permulaan serta perusahaan kecil dan sederhana, SC sentiasa menyokong usaha untuk menggalakk­an pewujudan modal dengan menyediaka­n rangka kerja yang memudahkan industri modal teroka dan ekuiti swasta.

Langkah itu diperkukuh­kan lagi melalui peranan SC sebagai Pengerusi Majlis Pembanguna­n Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia (MVCDC).

MVCDC merupakan entiti penyelaras sehenti yang menyediaka­n hala tuju strategik dan nasihat kepada kerajaan mengenai inisiatif pembanguna­n untuk industri tersebut.

“Untuk membawa pertumbuha­n industri ke tahap seterusnya, MVCDC telah menubuhkan kumpulan kerja khusus yang dipengerus­ikan bersama oleh Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk mengenal pasti cabaran dan memberikan cadangan tertentu bagi pembanguna­n industri.

“Dengan adanya rangka kerja penggerak dan saluran pembiayaan alternatif, pasaran modal akan terus menyokong perniagaan yang menghasilk­an produk, kualiti, penyelesai­an dan perkhidmat­an yang sesuai pada harga yang kompetitif, bagi pasaran tempatan dan antarabang­sa,” menurut SC. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia