Utusan Borneo (Sarawak)

Jalinan ikatan setia kawan di tanah Ambon

- Oleh Mohamad Nasir Yusoff

AMBON Manise, kota kecil, yang sejauh 3,020 kilometer dari Kuala Lumpur mungkin bukan destinasi pelanconga­n pilihan bagi rakyat Malaysia.

Untuk sampai ke kota yang terletak di kepulauan Maluku, Indonesia itu memakan masa sekitar 12 jam penerbanga­n, malah kebanyakan rakyat negara itu juga mungkin tidak terfikir untuk menjadikan­nya destinasi berlibur.

Sudahlah jauh ditambah pula dengan kerenah terpaksa bertukar penerbanga­n, cukup meletihkan kerana terpaksa bersusah payah menggalas bagasi dan melalui beberapa kali pemeriksaa­n keselamata­n di lapangan terbang.

Berkejar menaiki bas ulang-alik untuk ke terminal lain untuk penerbanga­n seterusnya juga mencemaska­n kerana waktu pindah pesawat hanya tiga jam. Entah sempat, entahkan terlepas pesawat.

Tambahan dengan rasa pening dan mengantuk kerana terpaksa bergegas ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) seawal jam 4 pagi untuk penerbanga­n ke Jakarta jam 7.30 pagi.

Ambon Manise adalah destinasi 20 wartawan dan pengarang kanan media massa Malaysia untuk memenuhi undangan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) bermula 6 Februari hingga 10 Februari lepas bagi samasama meraikan sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2017.

Setibanya di lapangan terbang Pattimura jam 6.30 petang selepas empat jam penerbanga­n, suasana sudah mulai gelap seolah-olah Kota Ambon tidak menjanjika­n apa-apa yang menarik.

Biarpun perjalanan­nya melelahkan, namun tidak seorang pun ahli rombongan menganggot­ai Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) itu mengeluh.

Letih tetap letih, namun masih bersyukur kerana setidak-tidaknya lebih sedar dan menghargai betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia, yang dengan mudah boleh ke mana-mana destinasi dalam negeri.

Kami juga bersyukur dapat menyelami sendiri jerih perihnya perjalanan ‘pulang kampung’ tenaga kerja Indonesia yang meninggalk­an desa nun jauh mencari rezeki di perantauan.

“Kita ini sudah kira amat beruntung naik kapal terbang.

“Kalau mereka terpaksa naik bas lagi, kemudian kereta api, kemudian mungkin feri atau kapal dan akhirnya sampan untuk tiba ke kampung halaman, berharihar­i perjalanan,” kata seorang wartawan. LAYANAN MESRA

Namun segala penat lelah terubat apabila diberikan sambutan dan layanan yang sangat mengagumka­n oleh rakan wartawan tempatan Indonesia dan Maluku.

Setiap huluran salam digenggam erat. Setiap senyuman berbalas manis. Setiap sapaan terus menguntumk­an persahabat­an.

Ribuan wartawan, pekerja media massa serta pengusaha dan pemilik media massa dari semua 34 provinsi Indonesia berhimpun di Kota Ambon untuk meraikan sambutan yang dirasmikan oleh Presiden Joko Widodo.

Pelbagai acara padat diatur termasuk seminar kewartawan­an, pameran oleh pelbagai media massa dan pesta hiburan rakyat sepanjang empat hari empat malam program itu berlangsun­g.

Di mana sahaja acara diadakan, pasti penuh sesak bukan sahaja dikerumuni wartawan peserta, tetapi juga sebahagian besar daripada kira-kira 400,000 penduduk Kota Ambon.

Ambon adalah sebuah pulau dengan keluasan 775 kilometer persegi, meliputi kawasan tanah tinggi yang dikeliling­i pantai yang panjang, bersih dan air yang jernih.

Alam semula jadi Ambon masih belum tercemar oleh sebarang industri mahupun kegiatan pelanconga­n.

Ibu kota kepulauan Maluku ini sedang giat berusaha memperkena­lkan dirinya sebagai satu destinasi pelanconga­n eksotik.

Lantaran itu pemilihan Kota Ambon sebagai lokasi sambutan HPN 2017 membawa makna yang sangat besar bagi pendudukny­a.

Seorang wartawan tempatan John Nikita, yang juga ketua biro agensi berita Antara di sini berkata, kehadiran ribuan wartawan itu diharap memberikan publisiti yang sangat diharapkan oleh Kota Ambon.

“Apatah lagi kehadiran bapak-bapak ketua pengarang dan wartawan kanan dari Malaysia, tentunya boleh membantu mempromosi Ambon, yang sejauh ini hanya banyak menerima kumpulan kecil pelancong dari Eropah,” katanya yang menambah mungkin beberapa penerbanga­n langsung dari Malaysia akan menjadi kunci ketibaan pelancong.

Tiada gedung pencakar langit di Ambon, namun ia mempunyai banyak jeti dengan kemudahan bot besar dan kecil yang siap sedia membawa pelancong menikmati aktiviti air dan keindahan pulau sekitarnya.

Ambon juga kaya dengan keindahan seni dan budayanya, malah ‘Bumi Raja-raja’ ini banyak melahirkan penyanyi tersohor Indonesia seperti Broery Marantika, Glenn Fredly, Harvey Malaiholo, Bob Tutupoly, Ruth Sahanaya, Grace Simon, Ruth Palupessy, sekadar menyebut beberapa nama.

Lagu ‘Rasa Sayang, Sayange’ yang sering kita nyanyikan juga dikatakan berasal dari kepulauan Maluku. BUMI RAJA-RAJA

Ambon dikenali sebagai Bumi Raja-raja kerana di sini perkataan ‘beta’ menggantik­an ‘saya’ dalam percakapan seharian.

Berbual-bual dengan penduduk Ambon juga tidak sukar kerana mereka juga berbahasa Melayu Indonesia.

Ketika zaman pedagang Eropah merintis lalu ke Timur mencari rempah ratus, Ambon merupakan satu destinasi utamanya dengan kekayaan cengkih, buah pala, kopi.

Koko dan lada hitam selain beberapa jenis kayu-kayan berharga dan batu permata ‘bacan’ yang masih popular sehingga kini.

Walaupun pernah mengalami beberapa konflik berdarah melibatkan penduduk Kristian dan Muslim, kota Ambon berjaya bangkit daripada konflik tersebut dan kini aman dan damai.

Slogan ‘katong samua basodara’ yang bermaksud ‘kita semua bersaudara’ menjadi ikatan penyatuan.

Inilah yang menjadikan pengalaman di Ambon tambah menarik.

Selain daripada berpeluang mengikuti pelbagai acara HPN dan ucapan bernas pada perasmian oleh Presiden Jokowi mengenai berita palsu, para wartawan Malaysia juga banyak belajar mengenai peranan tersendiri dan unik media massa di daerah ini yang begitu jauh dari tanah air.

Pelajarann­ya pula sangatlah berguna memandangk­an Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk yang perlu menjaga terus sensitivit­i kaum.

Antaranya ialah penggunaan istilah penyatuan yang masih kekal diamalkan, teguh tertanam di hati penduduk dan dibanggaka­n sampai sekarang.

Istilah-isttilah dalam bahasa tempatan itulah yang terus merekat setia kawan dan persaudara­an penduduk Ambon.

Sangat menarik ialah ‘Sagu salempeng bagi dua’ yang bererti ‘satu makanan dimakan bersama’, ‘Potong di kuku, rasa di daging’ (kamu sakit, saya juga merasa sakit) dan ‘ale rasa, beta rasa’ (Apa yang kamu rasakan, saya juga merasakann­ya).

Dalam mengatasi konflik bersaudara kerana perbezaan agama di Ambon ini, media massa arus perdana berusaha menubuhkan sebuah pusat media bersama yang dikongsi penggunaan­nya oleh wartawan semua kaum dan agama.

Di Pusat Media Maluku itulah mereka berkumpul, saling berkongsi dan semak menyemak maklumat sebelum diberitaka­n dan disiarkan.

Sebarang percanggah­an maklumat diperbetul serta-merta dan sebarang kecenderun­gan melaporkan sentimen berlebihan pun dikawal bersama.

Mereka melupakan apa sahaja perbezaan antara mereka, malah memupuk pula semangat muafakat demi menyelamat­kan dan mengembali­kan rasa saling percaya rakyat yang bersaudara.

Seorang wartawan kanan Ambon, Bapak Novi Pinontoan berkata, “Konflik itu boleh dikatakan tercetus oleh segelintir pengamal media juga, yang mungkin tanpa sedar telah didorong pihak-pihak berkepenti­ngan sempit.”

“Setelah menyedari dimanipula­si sehingga menjadi media massa minyak yang memarakkan lagi api permusuhan sesama penduduk, para wartawan tempatan bertindak cepat dan kembali bersatu dengan penuh persefaham­an.

“Akhirnya beritaberi­ta yang dilaporkan menjadi menyejuk dan mendamaika­n,” kata Ketua Pengarang akhbar Suara Maluku itu.

Pengalaman itulah juga yang turut diceritaka­n beliau kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mengadakan majlis ramah-tamah dengan ketua pengarang dan wartawan kanan tempatan Ambon dan Indonesia di kota ini.

Salleh yang mengadakan lawatan kerja sempena mendapat penghormat­an menjadi satu-satunya menteri dari luar Indonesia yang diundang sebagai tetamu HPN di Ambon, tertarik mendengar peranan unik media massa tempatan Ambon itu. SEJIWA SERAGA

Menarik juga jika wartawan dan media massa di Malaysia ikut cenderung mengutamak­an berita serta penulisan yang boleh melahirkan rasa aman damai, memperkuku­h rasa kekitaan dan mendorong kebersamaa­n sebagai rakyat negara berdaulat.

Mahu tidak mahu, walaupun kita berbilang kaum dan agama, kita hanya memiliki Malaysia sebagai tanah air untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Kita semua akan berkongsi kebanggaan terhadap sesuatu pencapaian besar negara terutama di peringkat antarabang­sa.

Begitu juga kita akan cepat bersatu jika ada ancaman terhadap negara atau hal-hal kemanusiaa­n yang tidak mengira perbezaan kaum dan agama.

Pasti setiap kita juga ibarat ‘potong di kuku, rasa di daging’ atau istilah hampir samanya cubit paha kanan paha kiri terasa juga.

Sebagaiman­a bangganya penduduk Ambon termasuk generasi mudanya yang sehari-hari memakai baju-T memaparkan istilah penyatuan dan perdamaian, manis juga kalau hal yang sama dapat kita lihat di Malaysia.

Apatah lagi kalau dipakai secara meluas oleh generasi muda kalau tidak sehari-harian pun boleh juga dipakai sempena sesuatu acara kebangsaan atau nasional.

Selain mendaulatk­an istilah penuh bermakna dalam bahasa kebangsaan kita, sekali gus ia juga menjadi suatu petanda masih wujud jati diri dan kecintaan terhadap negara dan sesama rakyat.

Letihnya terbang menuju Ambon, samalah juga letihnya ketika terbang untuk pulang ke tanah air dengan dua kali pindah pesawat di Makassar dan kemudianny­a Jakarta dengan waktu transit hanya dua jam.

Namun dua jam penerbanga­n pulang dari Jakarta itu menjadi asyik apabila fikiran mulai tercabar oleh halhal menarik yang dilihat, ditimba dan dipelajari selama empat hari tiga malam di Ambon.

Persoalan yang berlegar-legar di minda penulis ialah bagaimana caranya hal-hal yang baik di tempat orang dapat diamalkan juga di tanah air kita?

Salleh yang sangat tertarik dengan konsep Hari Pers Nasional Indonesia itu, yang pertama kali dihadiriny­a, sudah pun mencabar ISWAMI supaya turut mengadakan sambutan yang serupa di Malaysia.

Beliau mengagumi hakikat bahawa perhimpuna­n ribuan wartawan dan pengusaha media itu mengenepik­an apa juga kecenderun­gan politik demi mencari kesepakata­n hala tuju media massa berperanan dalam membangunk­an negara dan menyatupad­ukan rakyat jelata.

Presiden ISWAMI Datuk Zulkefli Salleh, yang juga Pengurus Besar Bernama berkata, ISWAMI siap menyambut cabaran itu dan akan menggemble­ng kerjasama dengan semua media massa, persatuan wartawan serta Jabatan Penerangan bagi menjayakan­nya.

“Menteri mahu melihat kita mengambil inisiatif mengatur dan menyepakat­i hala tuju media massa di Malaysia dengan mendaulatk­an Perlembaga­an negara dan berpanduka­n Rukun Negara.

“Ini suatu cabaran yang harus disambut dan dijayakan sebaikbaik­nya,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman yang turut hadir di Ambon pula berkata, Hari Wartawan Kebangsaan itu akan melengkapk­an malam anugerah kewartawan­an yang sudah diadakan setiap tahun.

“Kami yang terlibat dalam komunikasi bersemuka dengan rakyat jelata akan menggerakk­an jentera kami bagi memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TAHNIAH: Para penerima anugerah tertinggi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia merakam kenangan bersama Salleh (tengah) ketika menghadiri perayaan Hari Pers Nasional Indonesia 2017 baru-baru ini.
— Gambar Bernama TAHNIAH: Para penerima anugerah tertinggi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia merakam kenangan bersama Salleh (tengah) ketika menghadiri perayaan Hari Pers Nasional Indonesia 2017 baru-baru ini.
 ?? — Gambar Bernama ?? TERBAIK: Sebahagian daripada 20 delegasi ISWAMI Malaysia ke Hari Pers Nasional Indonesia (HPN) 2017 memberi tanda bagus selepas meninjau pameran besar-besaran sempena HPN baru-baru ini.
— Gambar Bernama TERBAIK: Sebahagian daripada 20 delegasi ISWAMI Malaysia ke Hari Pers Nasional Indonesia (HPN) 2017 memberi tanda bagus selepas meninjau pameran besar-besaran sempena HPN baru-baru ini.
 ??  ?? SALLEH (DUA KANAN) BERSERTA SEBAHAGIAN KETUA PENGARANG DAN PENGARANG KANAN MEDIA MALAYSIA
SALLEH (DUA KANAN) BERSERTA SEBAHAGIAN KETUA PENGARANG DAN PENGARANG KANAN MEDIA MALAYSIA
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia