Utusan Borneo (Sarawak)

Dr Abdul Rahman mohon k’jaan bina tiga rumah api di perairan Santubong

-

KUCHING: Kerajaan negeri dimohon untuk membina tiga rumah api atau tanda syarat lampu (lighting point) di tiga lokasi yang telah dikenal pasti di perairan Santubong, dekat sini.

Menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomuni­kasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, tiga lokasi yang dikenal pasti itu merangkumi Tanjong Sepang, Beting Melintang dan Tanjong Sedungut.

Katanya, rumah api atau ‘lighting point’ itu penting sebagai pandu arah kepada para nelayan, khasnya yang berada di tengah laut untuk kembali ke daratan dengan selamat.

“Saya sering menerima aduan daripada sebahagian nelayan yang berdepan kesukaran untuk pulang ke darat kerana ketiadaan rumah api atau ‘lighting point’ ini.

“Justeru, saya memohon kepada kerajaan negeri agar mengambil perhatian untuk menyediaka­n rumah api atau ‘lighting point’ di ketiga-tiga kawasan ini iaitu Tan- jong Sepang, Beting Melintang dan Tanjong Sedungut yang mana kesemuanya berada di perairan Santubong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke- 28/ 2017 dan Majlis Penyampaia­n Elaun Sara Hidup Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru, di Dewan Masyarakat Telaga Air dekat sini, semalam.

Jelasnya, dengan adanya rumah api atau ‘lighting point’ itu, ia sekali gus mampu mengelak daripada kemalangan atau sebarang perkara tidak diingini berlaku kepada para nelayan.

“Sebagai contoh di Beting Melintang, di situ merupakan kawasan pasir tumbuh dan ia berbahaya kepada bot-bot nelayan yang melaluinya, manakala di kawasan Tanjong Sedungut pula terdapat satu tongkang karam di sana.

“Jadi, amat perlu rumah api atau ‘lighting point’ ini bagi mem- beri pandu arah kepada para nelayan agar tidak melalui kawasan berbahaya ini jika mereka hendak ke daratan,” jelasnya.

Dalam perkembang­an lain, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut memohon agar Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak menyediaka­n depo bagi Program E-Diesel di kawasan Telaga Air.

“Pada masa ini, PNK Satang Biru mengambil diesel di kawasan Pending dan ia terletak sangat jauh dan menyukarka­n para nelayan di kawasan Telaga Air.

“Justeru, kita memohon agar depo ini disediakan di kawasan Telaga Air, agar ia lebih dekat dan memudahkan para nelayan PNK Satang Biru, khasnya,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PNK Satang Biru Hasbi Luhi dan Timbalan Pengarah LKIM Negeri Sarawak Nik Rashid Nik Jusoh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia