Serangan berdarah di Parlimen London

Empat maut, 40 cedera dilanggar dan ditikam dalam ‘terorisme berkaitan Islamis’: Polis

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page -

LONDON: Empat orang maut dan 40 cedera selepas dilanggar dan ditikam dalam satu serangan kilat di pagar demokrasi Britain yang dikaitkan oleh polis dengan “terorisme berkaitan Islamis”.

Serangan itu berlaku kelmarin di seberang Jambatan Westminster dalam bayangbayang Big Ben, sebuah mercu tanda yang tersergam indah dan menarik jutaan pelancong selain berdiri di atas Dewan Parlimen Britain – imej sebenar London.

Kereta penyerang melanggar pejalan kaki di atas jambatan sebelum ia merempuh kisi- kisi yang mengelilingi Dewan Parlimen yang dikawal ketat, menyemai mula-mula kejutan kemudian panik di pusat kuasa Britain.

Penyerang kemudian berlari menerusi pagar dengan membawa pisau dan menikam seorang anggota polis berusia 48 tahun sehingga mati sebelum ditembak mati oleh seorang anggota polis lain.

Perdana Menteri Theresa May menyifatkan serangan itu sebagai “sakit dan keji” dalam satu ucapan yang tegas di mana beliau mengesahkan Parlimen akan bersidang seperti biasa semalam.

Berdiri di luar kediamannya di Downing Street selepas satu mesyuarat kabinet tergempar, May berkata tahap kewaspadaan Britain tidak akan diubah.

“Semua kita akan samasama melangkah ke hadapan, tidak akan pernah tunduk kepada keganasan dan tidak akan membiarkan suara kebencian dan kejahatan untuk memecah- belahkan kita,” kata Mei yang mengenakan pakaian serba hitam.

Perdana menteri berada di Parlimen pada waktu sera- ngan dan kelihatan dibawa dari sana dalam sebuah kereta perak ketika bunyi seperti tembakan bergema, media British melaporkan.

Pegawai antiterorisme utama Britain, Mark Rowley berkata empat mangsa termasuk seorang anggota polis yang mengawal Parlimen dan tiga orang awam.

“Terorisme berkaitan Islamis adalah andaian kami,” kata Rowley kepada wartawan.

Beliau berkata penyiasat percaya mereka tahu identiti penyerang dan polis akan memeriksa lokasi serangan sepanjang malam.

Ratu Elizabeth II menangguhkan kemunculan baginda semalam untuk merasmikan ibu pejabat baharu Polis Metropolitan di London, di mana bendera pasukan polis dikibarkan separuh tiang ekoran insiden itu.

Serangan itu berlaku setahun tepat selepas pelampau Negara Islam (IS) membunuh 32 orang dalam serangan bom berkembar di Brussels dan selepas siri serangan berdarah di Eropah yang sebelum ini tidak berlaku di Britain.

Parlimen dikunci selama beberapa jam dan ratusan penggubal undang- undang dan pelawat kemudian dipindahkan ke Westminster Abbey yang berdekatan dan ibu pejabat Polis Metropolitan.

Sebuah ambulans udara tiba dan polis menutup sebuah ka- wasan yang besar, manakala pelancong di atas London Eye, satu tarikan pelawat yang popular, terkandas 135 meter di udara selama lebih sejam sewaktu insiden itu berlaku.

“Saya melihat tiga mayat di atas tanah dan ramai sekali anggota polis. Ia agak menakutkan,” kata Jack Hutchinson, 16, dari Amerika Syarikat, yang terkandas di atas roda pemerhatian itu bersama ibu bapanya.

Menteri Pejabat Luar, Tobias Ellwood, adik kepada Jonathan yang terkorban dalam serangan bom di Bali pada 2002, digambar dengan wajahnya yang dilumuri darah ketika beliau membantu untuk memberikan rawatan kecemasan kepada anggota polis yang cedera sebelum dia mati.

Serangan pengganas terakhir di Britain adalah pembunuhan Ahli Parlimen Jo Cox oleh seorang penyokong pro-Nazi dalam konstituensi beliau di utara England.

Serangan terburuk sebelum ini di London adalah pada 2005 apabila empat pengebom nekad British yang mendapat inspirasi daripada Al-Qaeda menyerang sistem pengangkutan dan membunuh 52 orang.

Sekutu Britain terkejut dan berikrar untuk menyokong London dalam usaha memerangi keganasan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Perancis Francois Hollande bercakap kepada May dan Canselor Angela Merkel berkata Jerman berdiri bersama rakyat Britain untuk “menentang semua bentuk terorisme”.

“Bercakap dengan Perdana Menteri UK Theresa May hari ini untuk menyampaikan takziah di atas serangan pengganas di London,” tweet Trump.

Lampu di atas Menara Eiffel di Paris dipadam pada waktu tengah malam dalam solidariti dengan mangsa serangan.

Insiden itu mendominasi muka hadapan akhbar di Britain, dan The Times menyifatkannya sebagai “Serangan ke atas Westminster” manakala Evening Standard di London memaparkan tajuk berita utama “Pembunuhan keganasan di Westminster”.

Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault pergi ke London pagi semalam untuk melawat tiga murid Perancis yang menyertai lawatan sekolah dan merupakan antara mangsa yang cedera.

Lima pelancong Korea Selatan cedera, kata kementerian luar di Seoul, manakala kerajaan Romania berkata dua warganya turut cedera.

Seorang lelaki Portugis cedera, kata kerajaan negara tersebut, manakala seorang wanita yang cedera serius diselamatkan dari Sungai Thames selepas insiden itu.

Seorang doktor di Hospital St Thomas yang berdekatan berkata mereka merawat orang dengan kecederaan “dahsyat”.

Gambar agensi berita Press Association yang dipercayai gambar penyerang yang terlantar di atas usungan ambulans menunjukkan dia memakai baju hitam dan berjambang. — AFP

— Gambar Reuters

PARAH: Orang ramai membantu wanita yang cedera selepas serangan di Jambatan Westminster di London kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.