Utusan Borneo (Sarawak)

Kenal pasti tapak dahulu sebelum mohon kerajaan bina masjid, surau

-

KUCHING: Masyarakat kampung yang berhasrat memohon kepada kerajaan bagi pembinaan masjid atau surau di kawasan masing-masing disyor untuk berbincang dan mencari tanah atau tapak bersesuaia­n terlebih dahulu.

Ini kerana, menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, isu berhubung tanah sering menjadi faktor utama sesuatu projek pembinaan rumah ibadah itu tergendala.

“Sebelum memikirkan di mana kita mahu mencari sumber kewangan bagi membina masjid atau surau di kawasan kampung kita, seeloknya pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) bersama pemimpin parti di kawasan mencari tanah bersesuaia­n terlebih dahulu.

“Setelah tanah untuk membina masjid atau surau dikenal pasti, pastikan ia diwakafkan dengan Majlis Islam Sarawak (MIS) baharulah kita boleh memikirkan perkara lain kerana ini memang syarat yang telah ditetapkan sebelum sebarang masjid atau surau dibina di atasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaia­n Sumbangan Kebajikan Bagi Zon Jalan Bako di Masjid Darul Iman Kampung Senari di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong memberitah­u, kebanyakan isu pembinaan masjid atau surau yang dihadapi penduduk kampung, khususnya di konstituen­sinya adalah melibatkan masalah tanah yang tidak dikenal pasti dan diselesaik­an.

“Kita tidak mahu pembinaan masjid atau surau tergendala hanya kerana permasalah­an berhubung tanah yang tidak selesai, meskipun kita sudah memiliki sumber kewangan untuk meneruskan pembinaan (masjid atau surau).

“Ia termasukla­h masalah bagi pembinaan masjid di Kampung Stoh yang telah tergendala selama tiga tahun, masjid di Pulau Salak, juga tiga tahun tergendala dan masjid di Family Park yang tergendala empat tahun, semuanya kerana isu tanah,” jelasnya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Wan Junaidi mengumumka­n akan menyumbang beberapa unit pendingin hawa untuk Masjid Darul Iman dan meminta pengerusi masjid melanjutka­n permohonan menerusi Setiausaha Politik beliau Datuk Wan Hamzah Wan Paie.

Turut hadir isteri beliau Datuk Seri Feona Wan Junaidi, Ketua Kaum Kampung Senari Ali Hamid serta ketua-ketua masyarakat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia