Utusan Borneo (Sarawak)

PAS rancak kendalikan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan

-

MIRI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak menjadikan Ramadan peluang terbaik bersama masyarakat Sarawak yang berbilang bangsa dan agama.

Ketua Penerangan, Muhammad Afiq Mhd Khazar berkata ahli-ahli parti seluruh Sarawak sibuk menyusun jadual program kebajikan sepanjang Ramadan.

Antaranya, sumbangan barangan keperluan harian kepada asnaf, edar bubur lambuk, tazkirah, tadarus al-Quran, singgah sungkei (edaran pack makanan berbuka) dan singgah sahur.

“Malah, sebelum Ramadan ahli-ahli PAS seluruh negara sibuk merangka pelan bagi mengisi aktiviti dakwah dan kebajikan dalam bulan Ramadan,” katanya.

Menurut Afiq, ‘ Projek Taqwa’ bagi ahli-ahli PAS menjelang Ramadan terdiri beberapa projek imarah (memakmurka­n) masjid dan surau dengan amal fardi (individu).

Selain itu, Ramadan juga peluang ahli-ahli melakukan kebajikan untuk seluruh masyarakat tidak kira latar belakang agama dan bangsa.

“Semoga ruang kebajikan dalam bulan Ramadan menjadi ruang kuat dakwah bagi kami melihat Islam kembali gemilang di Bumi Kenyalang yang tercinta ini,” jelas beliau.

Pada 1 Jun lalu, PAS kawasan Sibuti dengan kerjasama PAS Kampung Bakam mengadakan program sumbangan kebajikan kepada lebih 20 keluarga di Kampung Sungai Rait.

Sumbangan berupa makanan disampaika­n Yang Dipertua PAS Sibuti, Butir Bakar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia