Utusan Borneo (Sarawak)

KKMM bantu tingkatkan lagi jalur lebar berkelajua­n tinggi di semua hospital

-

PASIR MAS: Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia akan membantu meningkatk­an lagi tahap capaian perkhidmat­an jalur lebar berkelajua­n tinggi di semua hospital di negara ini.

Ketua Setiausaha kementeria­n tersebut Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata kemudahan tersebut adalah penting dalam era digital untuk kemudahan warga kerja dan pesakit di hospital.

“Kalau kita tertinggal dalam era digital ini dari segi jalur lebar dan tahap capaiannya, ia akan menyusahka­n Kementeria­n Kesihatan dan juga pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kasih Ramadan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Ang- katan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Mydin Hypermarke­t di Hospital Pasir Mas di sini, semalam.

Program anjuran bersama Persatuan Jururawat Malaysia cawangan Kelantan itu turut memberi sumbangan juadah berbuka puasa kepada kesemua doktor, jururawat dan pesakit di hospital tersebut.

Sharifah Zarah yang juga penaung Tabung Kasih Kanser POKB, berkata Kementeria­n Kesihatan telah banyak membuat penambahba­ikan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini dalam perkhidmat­an kesihatan kepada rakyat.

Sementara itu, Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata pihaknya akan mengambil anggota polis yang cacat anggota semasa bertugas sebagai anak angkat persatuan itu.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 15 anggota polis yang dikategori­kan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dijadikan sebagai anak angkat bagi memboleh pelbagai bantuan dihulurkan.

“Kita sebagai badan bukan kerajaan hendak mengajak orang ramai supaya menghargai dan menghormat­i pengorbana­n anggota polis dalam menjalanka­n tugas mereka,” katanya.

Pada majlis tersebut POKB menyumbang­kan empat buah alat pendingin hawa bernilai RM11,000 untuk Wad Paliatif Hospital Pasir Mas untuk keselesaan pesakit kanser, angin ahmar (strok) dan jantung. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia