Utusan Borneo (Sarawak)

Selepas lima bulan, bapa doa moga jasad anaknya ditemui

-

BESUT: “Kalau mati di manakah kuburnya, kalau hilang di manakah jasadnya,” luah bapa kepada seorang pelajar tahun enam yang kehilangan anak bongsunya hampir lima bulan lalu.

Alias Mamat, 58 dan isterinya, Yuhaslinah Yunus, 51, tidak putus berharap agar jasad Mohammad Izzat Haikal, 12, yang dilaporkan hilang di laut berhampira­n pantai Bukit Keluang, Besut pada 14 Jan lalu, dapat dijumpai.

“Hari ini (semalam) masuk hari ke-141 Mohammad Izzat Haikal hilang di laut tetapi masih tiada khabar berita sama ada mayatnya sudah ditemui ataupun tidak. Ia membuatkan kami sekeluarga dalam kesedihan dan berharap sangat ada keajaiban berlaku,” kata Alias ketika ditemui Bernama di kediamanny­a di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Raja itu bersama lima rakannya yang berusia antara 12 dan 15 tahun telah pergi ke Pantai Bukit Keluang untuk bermain air laut setelah penat berbasikal.

Mohammad Izzat Haikal bersama lima rakannya itu dilaporkan tiba-tiba ‘ditarik’ ombak besar ke tengah laut sehingga menyebabka­n beliau dan seorang rakannya Nik Muhammad Haikal Nik Shamsuddin, 13, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud 2 hilang, manakala yang lain berjaya menyelamat­kan diri.

Bagaimanap­un mayat Nik Muhammad Haikal dijumpai pada jam 7 pagi keesokanny­a kira-kira 200 meter dari tempat beliau dilaporkan hilang, namun Mohammad Izzat Haikal tidak ditemui hingga ke hari ini.

“Itulah yang masih menjadi persoalan sehingga kami tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya mampu berdoa agar Mohammad Izzat Haikal ditemui walaupun yang ditemui itu hanya tulang sahaja,” kata Alias.

Beliau berkata, kehilangan tersebut tidak membolehka­n mereka sekeluarga membuat laporan tentang kematianny­a, apatah lagi menganjurk­an sebarang majlis tahlil sebelum mayatnya ditemui.

“Sehingga sekarang kes anak bongsu saya masih dikategori­kan sebagai ‘kes orang hilang’, yang diberikan tempoh tujuh tahun sebelum disahkan sebagai meninggal dunia,” ujar beliau yang juga seorang guru di SMK Kuala Besut.

Mengenang kembali harihari sebelum kejadian itu berlaku, beliau berkata seminggu sebelum kejadian, perangai dan tingkah laku anaknya agak berlainan serta sering memakai songkok ke sekolah atau berkupiah hitam bila berada di rumah.

Alias berkata, Muhammad Izzat Haikal merupa- kan anak yang sentiasa riang dan suka bergaul berbanding kakak serta abangnya, malah beliau juga mempunyai sifat suka menolong rakan- rakan sekolahnya yang dalam kesusahan sehingga kadangkala mereka turut dirayu agar terlibat sama membantu.

Katanya, Ramadan kali ini agak perit untuk dihadapi apabila mengenangk­an gelagat Muhammad Izzat Haikal dan masih terngiang-ngiang permintaan­nya supaya dibelikan makanan kesukaanny­a, ayam gunting dan ‘cream puff’.

“Saya tidak akan putus harapan malah sentiasa berdoa agar sekiranya beliau telah mati, kami berdoa agar jasadnya ditemui bagi membolehka­n kami mengadakan majlis tahlil atas kematianny­a,” kata beliau dengan penuh harapan.

Selain mangsa, Alias turut mempunyai dua lagi anak lelaki dan dua perempuan, berusia antara 12 dan 22 tahun. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia