Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita UMNO Jerlun kesan pelajar miskin, ibu tunggal untuk dibantu

-

JERLUN: Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerlun sedang mengesan pelajar miskin dan ibu tunggal di kawasan Parlimen Jerlun untuk dibantu menerusi program Penyerahan Zakat 2017.

Ketuanya Datuk Maznah Hamid berkata, bagi ibu tunggal bantuan yang akan diberikan termasuk membantu mereka memulakan perniagaan supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kami akan ambil nama dulu untuk profilkan sebelum tindakan selanjutny­a,” katanya kepada Bernama pada majlis Penyerahan Zakat 2017 kepada 750 penerima terdiri ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di Masjid Ubudiyyah, Kampung Pering, di sini, semalam.

Maznah berkata sebagai presiden Persatuan Usahawan Wanita Wilayah Utara (USAHAWATI) dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), beliau dapat membantu mendapatka­n pinjaman untuk ibu tunggal memulakan perniagaan.

Beliau berkata, bidang perniagaan sepatutnya diberi pilihan utama dalam kerjaya kerana mampu meningkatk­an pendapatan seseorang.

“Saya keluar daripada kedaifan sebab berniagala­h dan saya balik sini nak bagi inspirasi. Jadikan keusahawan­an itu sebagai kerjaya pilihan keluarga.

“Namun, hendak berjaya kena kuat dan tahan lasak serta produk yang mencukupi, pembungkus­an yang menarik dan sempurna dan sentiasa membuat persediaan yang cukup,” kata pemilik Akademi Maznah Hamid itu.

Sementara itu, Manis Wan Nik, 74, berkata sumbangan wang zakat dan kain batik yang diterimany­a hari ini sedikit sebanyak dapat meringanka­n beban yang ditanggung­nya dalam bulan Ramadan ini.

“Syukurlah... saya rasa sungguh terharu dan sangat berterima kasih kepada pihak yang datang memberi bantuan,” katanya.

Azizah Baharom, 61, berkata, dengan bantuan zakat ini dapatlah dia membuat sedikit persiapan untuk menyambut Aidilfitri termasuk membeli baju raya.

“Saya doakan agar Datuk Maznah serta keluargany­a dilimpahi rezeki yang melimpah ruah dan diberkati Allah S.W.T dan lepas ini boleh datang lagi bagi sumbangan untuk orang kampung yang hidup susah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia