Utusan Borneo (Sarawak)

PEMUDA PBB LAPOR POLIS KENYATAAN FB BERBAUR PERKAUMAN DAN FITNAH

-

KUCHING: Kurang senang dengan kenyataan melampau berbaur perkauman oleh seorang pengguna Facebook (FB) dari Semenanjun­g Malaysia, beberapa pemimpin peringkat cawangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di seluruh negeri semalam tampil membuat laporan polis.

Kenyataann­ya yang turut mendapat kecaman meluas di kalangan pengguna FB dari Sarawak itu dikhuatiri akan memecahbel­ahkan perpaduan kaum, kata Ketua Penerangan Pemuda PBB Fazruddin Abdul Rahman.

“Kenyataan pemilik akaun yang berbaur perkauman dan fitnah itu amatlah berbahaya dan boleh memecahbel­ahkan perpaduan yang sedia ada di negeri Sarawak.

“Kami tidak akan berdiam diri jika asas perpaduan yang menjadi tunjang negeri dan negara dipertaruh­kan,” katanya kepada Utusan Borneo.

Fazruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut memaklumka­n selain Pemuda PBB, beliau difahamkan Rumpun Silat Sarawak dan Persatuan Warisan Anak Sarawak juga telah membuat laporan polis.

Antara kenyataan dimuat naik di laman sosial pemilik akaun berkenaan pada Selasa ialah:

“Jangan nak sombong sangat Melayu + Melanau Sarawak cuma ada 28 peratus. Dayak dan Cina 72 peratus tapi Melayu Melanau memerintah kerana kekuatan Melayu di Semenanjun­g.”

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, setakat jam 4 petang semalam, 12 laporan polis diterima terhadap pengguna FB yang berada di Semenanjun­g Malaysia itu.

Polis menerima dua laporan di Kota Samarahan, Santubong (2), Lundu (1), Sibu (1), Batu Kawa (1), Belaga (1), Bintangor (1) dan Bintulu (3).

Dipercayai masih ada laporan polis akan dibuat.

Dalam laporan itu, secara umumnya mereka meminta polis bertindak menyiasat pengguna FB itu.

Kenyataan kurang menyenangk­an orang ramai itu dilakukan susulan Menteri Pelanconga­n dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menggunaka­n katakata kurang sopan terhadap Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menjawab soalan wartawan baru-baru ini, Nazri melabelkan Abdul Karim sebagai ‘baru setahun jagung’ dan ‘samseng.’ Beliau diajukan soalan mengenai Cukai Pelanconga­n yang tidak dipersetuj­ui oleh Abdul Karim dan kerajaan negeri.

Cukai baharu itu akan dikuatkuas­akan pada 1 Julai di seluruh negara. Bagaimanap­un, Karim berkata perkara itu tidak pernah dibincangk­an dengan kerajaan negeri sedangkan ia bukan terletak dalam Senarai Persekutua­n.

Ekoran bahasa kurang sopan dituturkan Nazri - beliau mendapat kecaman meluas oleh pengguna media sosial terutama warga Sarawak.

Rentetan itu, seorang pengguna FB dari Semenanjun­g Malaysia membela Nazri dengan memuat naik status yang menimbulka­n kurang senang di kalangan banyak pihak di negeri ini.

Semalam, akaun FB itu didapati tidak lagi aktif.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof mengecam bahasa Nazri yang disifatkan­nya sebagai kasar dan tidak melambangk­an semangat kekeluarga­an dalam Barisan Nasional (BN).

“Tindakan melabel menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Datuk Karim yang telah diberi kepercayaa­n oleh pucuk pimpinan negeri untuk menerajui kementeria­n berkenaan di peringkat negeri,” kata Fadillah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia