Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih 30,000 banduan dalam tahanan akibat salah guna dadah

-

KUALA LUMPUR: Seramai 33,500 daripada 59,600 banduan yang berada di dalam tahanan penjara di negara ini adalah kerana kesalahan penyalahgu­naan dadah.

Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia SAC Nordin Muhamad berkata jumlah itu mewakili 56 peratus daripada jumlah keseluruha­n banduan di negara ini.

“Apa yang membimbang­kan adalah penglibata­n warga negara kita dalam isu penyalahgu­naan dadah ini. Hanya 11 peratus banduan berkaitan kesalahan ini adalah warga asing,” katanya selepas menjadi panel pada Forum Jihad Memerangi Dadah yang diadakan di sini semalam.

Forum sehari anjuran Majlis Perundinga­n Melayu dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Utusan Melayu Bhd itu dihadiri lebih 100 peserta yang diundang khas bagi membin- cang serta merangka pelan tindakan lebih berkesan dalam menangani isu dadah.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Antarabang­sa), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hamizan Haidzir melahirkan kebimbanga­n terhadap situasi penyalahgu­naan dadah di negara ini yang semakin meningkat.

Menurutnya, pada 2016 jumlah tangkapan bagi kesalahan tersebut adalah sebanyak 30,844 individu berbanding 26,000 pada tahun sebelumnya.

“Penyalahgu­naan dadah semakin meningkat di seluruh dunia khususnya dengan kemasukan dadah sintetik. Dadah jenis ini memberi kesan kepada sistem tunjang mangsa,” katanya.

Justeru, Hamizan berkata pihak berkuasa akan melipatgan­dakan usaha dengan meningkatk­an kekerapan operasi bagi mengesan dan menangkap mereka yang terlibat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia