Utusan Borneo (Sarawak)

Didik anak cintai ilmu melalui kempen ‘Buku Ganti Duit Raya’

-

KUALA LUMPUR: Bayangkan kanak-kanak asyik mengira naskhah buku yang diperoleh ketika sambutan Hari Raya berbanding duit ringgit yang menjadi kelaziman ketika ini.

Kedengaran agak mustahil, namun itulah yang cuba direalisas­ikan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia ( ITBM) melalui kempen ‘Buku Ganti Duit Raya’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifn­ya, Mohd Khair Ngadiron, pemberian buku boleh menjadi alternatif lebih baik berbanding wang kerana ia mampu melahirkan masyarakat berilmu serta mengangkat akal budi bangsa.

“Pemberian duit bukanlah asalnya tradisi kita orang Melayu malah tidak ada dalam agama Islampun, ia hanya menjadi adat kebiasaan masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Khair berkata tidak menjadi kesalahan untuk memberi wang sebagai sedekah, namun kelaziman itu dibimbangi akan mewujudkan masyarakat bersifat terlalu mementingk­an kebendaan.

“Bulan Ramadan juga sering menginsafk­an kita, orang dalam kesusahan kita bantu tetapi selepas itu, kita merayakan dengan duit berlebihan,” katanya.

Justeru, Mohd Khair berkata kempen ‘Buku Ganti Duit Raya’ yang telah memasuki tahun kedua itu diharap membuka mata masyarakat khususnya ibu bapa dalam mendidik anak supaya lebih cintakan ilmu.

Beliau berkata sebanyak 808 judul buku dijual sepanjang bulan Ramadan dengan harga RM3, RM5 dan RM10, seperti jumlah kebiasaan pemberian duit raya.

Katanya, kempen cetusan idea Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang ketika itu merupakan Ketua Setiausaha Kementeria­n Pendidikan Tinggi (kini Ketua Setiausaha Kementeria­n Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) menerima sambutan menggalakk­an khususnya daripada golongan ibu bapa muda berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

Tambah Mohd Khair, lebih 10,000 naskhah buku terjual pada Ramadan 2016, dan jumlah itu dijangka meningkat untuk tempoh sama tahun ini berdasarka­n promosi kempen yang sedang giat dijalankan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia