Struktur halangan akan dibina di Jalan Marudi
Langkah halang kenderaan berat lebih muatan melalui, merosakkan jalan sepanjang 44 kilometer itu
KUCHING: Struktur halangan akan segera dibina di Jalan Marudi bagi menghalang kenderaan berat melebihi muatan daripada melalui dan merosakkan jalan sepanjang 44 kilometer itu.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada RM70 juta untuk membina jalan itu bagi menampung pengguna dan kenderaan biasa atau ringan.
Malangnya, menurut Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, jalan itu turut digunakan oleh dua kumpulan pengguna yang tidak sepatutnya melaluinya, iaitu lori balak dan lori pengangkut buah kelapa sawit dengan muatan berlebihan.
“Pihak CMS (Cahya Mata Sarawak) telah melakukan kerja-kerja membaik pulih tetapi sehari dua selepas itu jalan ini rosak lagi disebabkan dua kumpulan pengguna ini.
“Jadi saya cadangkan kita bina jalan ini sama ada dengan kaedah mahal yang dapat menampung semua jenis pengguna atau kita halang kenderaan berat melebihi muatan daripada melalui jalan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM245,200 kepada 21 penerima di pejabatnya di Tingkat 5, Bangunan Baitulmakmur di sini semalam.
Tambah Masing, beliau amat mengambil berat akan kepentingan pengguna biasa yang melalui jalan itu dan atas sebab itu, beliau akan melakukan apa jua cara untuk menghalang kenderaan berat melebihi muatan daripada melalui dan merosakkan jalan terbabit.
Jika perkara itu dibiarkan, katanya, kerja- kerja membaik pulih jalan tidak akan dapat dilaksanakan dan kerajaan terpaksa menanggung kerugian besar setiap kali lori-lori terbabit menggunakannya.
Sebab itu, katanya, struktur halangan mesti dibina bagi mengelak masalah sama yang pernah dihadapi sebelum ini melibatkan Jalan Bakun.
“Saya akan ke Marudi pada 7 Julai ini untuk melihat sekali lagi jalan ini dan kita akan fikirkan pendekatan bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Bercakap mengenai penyerahan cek geran MRP tersebut, Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata beliau diberikan RM4 juta MRP untuk pelaksanaan pelbagai projek.
Daripada jumlah itu, ka- tanya, RM2.6 juta telah dibelanjakan untuk kawasan Baleh di mana setakat ini semua rumah panjang, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Baleh telah diagih MRP bagi tahun ini.
Untuk MRP berjumlah RM245,200 yang diagihkan semalam, ia melibatkan 21 penerima dari luar kawasan Baleh bagi tujuan seperti yang diminta.
“Harap mereka yang menerima geran hari ini (semalam) menggunakan geran ini untuk tujuan seperti yang dinyatakan.
“Saya berbesar hati untuk menyumbangkan geran ini kerana saya tahu kerajaan memerlukan sokongan daripada rakyat untuk membangun negara ini,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir menyaksikan penyerahan cek geran MRP itu semalam ADUN Murum Chukpai Ugon dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umih Tujok.
Pihak CMS (Cahya Mata Sarawak) telah melakukan kerja-kerja membaik pulih tetapi sehari dua selepas itu jalan ini rosak lagi disebabkan dua kumpulan pengguna ini. Tan Sri Datuk Amar James Masing Timbalan Ketua Menteri