Masing: 80 peratus kawasan DUN Baleh boleh dihubungi jalan raya
KAPIT: Hampir 80 peratus kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Baleh kini dapat dihubungi kemudahan jalan raya terutama jalan disedia syarikat pembalakan.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, rakyat harus bersabar dan memahami kerana setiap pelaksanaan projek pembangunan di sesebuah kawasan memerlukan masa.
“Semasa saya mula bersama anda pada 30 tahun lalu, kawasan Baleh ini tdak dapat dihubungi. Berbanding kini Baleh boleh dihubungi melalui jalan raya biarpun menerusi jalan balak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Gendang, Sungai Puro, Gaat, Baleh di sini barubaru ini.
Masing juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, kini beberapa kawasan di sini juga mempunyai kemudahan akses internet dengan pembinaan menara telekomunikasi di Baleh.
“Pembangunan akan datang bila anda semua cukup bersabar. Saya berasa sangat gembira melihat penduduk di Baleh telah pun bersama sejak 30 tahun lalu masih bersama saya sehingga ke hari ini,” katanya.
Menurut Masing, sekitar 54 tahun lalu Kapit adalah sebuah kawasan tidak dapat dihubung kawasan lain di negeri ini.
“Tetapi kini, dalam tempoh empat tahun akan datang Kapit akan dapat dihubungkan dengan kawasan lain di negeri ini dan tidak lagi menjadi sebuah pulau di Borneo,” jelasnya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.
Tegasnya, semua pembangunan itu adalah hasil daripada sokongan yang konsisten dan kepercayaan penuh rakyat terhadap wakil rakyat mereka pilih selama ini.
“Sebagai kesinambungan, saya berterima kasih kepada rakyat atas sokongan dan ke- percayaan serta memastikan mereka menikmati pembangunan yang diperlukan dengan sebagai contohnya ialah empangan hidro elektrik Baleh dan sebagainya,” katanya.
Pada majlis sama, Masing merasmikan projek tangki simpanan air di Rumah Gendang.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Residen Kapit Joseph Belayong Punan, Pegawai Daerah Bukit Mabong Douglas Pungga dan Wali Kota Majlis Daerah Kapit Philimon Nuing.