Utusan Borneo (Sarawak)

Peraturan baharu MPS kompaun RM500 ke atas kutu sampah berkuat kuasa hari ini

-

SIBU: Majlis Perbandara­n Sibu (MPS) berharap dapat menjadikan Sibu sebagai bandar sifar sampah dengan penguatkua­saan peraturan baharu mulai hari ini (1 Julai).

Pengerusin­ya Datuk Tiong Thai King berkata, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah merata-rata atau pembuangan haram dan pelupusan sampah yang tidak betul akan dikenakan kompaun sebanyak RM500.

Tegasnya, sesiapa yang gagal membayar denda akan dibawa ke mahkamah dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV) juga akan digunakan untuk mengenal pasti mereka yang melakukan kesalahan itu dan akan diterbitka­n dalam surat khabar.

“Manakala, mereka yang memberi maklumat dengan bukti kukuh menyokong mengenai kutu sampah juga akan diberikan insen- tif oleh MPS dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiaka­n,” jelasnya ketika mempengeru­sikan mesyuarat bulanan MPS semalam.

Menurut Tiong, MPS telah meletakkan 46 gegantung di lokasi strategik untuk mewujudkan kesedaran awam dan mengingatk­an orang ramai mengenai kompaun RM500 dikenakan bagi kesalahan membuang sampah merata-rata.

“Selain itu, 24 tanda jalan telah didirikan di pelbagai persimpang­an jalan untuk mengingatk­an orang ramai agar tidak membuang sampah merata-rata atau kompaun RM500 dikenakan bagi mereka yang didapati melakukan kesalahan itu,” ujarnya.

Tiong berkata, MPS terpaksa melaksanak­an peraturan baharu tersebut kerana masalah tidak pernah selesai meskipun banyak inisiatif mengenai isu antisampah telah wujud sejak 20 tahun lalu.

“Pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan program alam sekitar telah dijalankan untuk meningkatk­an kesedaran awam, namun usaha itu tidak mempengaru­hi sikap orang ramai terhadap isu pembuangan sampah.

“Malah, kempen pembersiha­n yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan turut tidak mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai,” jelasnya.

Tiong yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, MPS perlu membelanja­kan kira-kira RM15 juta setiap tahun untuk pengumpula­n sampah, kos menyapu sampah jalanan dan penyelengg­araan tapak pelupusan sampah di Kemuyang.

“Membuang sampah di merata-rata tempat telah menjadi tabiat buruk dan salah satu masalah sosial. Sekiranya kita tidak peduli dengan sampah yang dibuang merata-rata di jalan-jalan, taman dan tempat awam, kita mungkin tidak peduli terhadap isu-isu alam sekitar yang lain.

“Sikap ini akan memberi kesan buruk terhadap kehidupan kita, komuniti dan masyarakat. Masalah sampah turut akan membawa kepada masalah lain termasuk memberi kesan kepada ekonomi, tingkah laku antisosial dan membahayak­an kesihatan,” tegasnya.

Salah satu cara untuk membendung masalah membuang sampah merata-rata, Tiong menggesa orang awam membuang sampah mereka ke dalam tong sampah standard yang disediakan.

Oleh itu, beliau berharap penguatkua­saan yang ketat yang dilaksanak­an bukan sahaja akan mewujudkan tempat yang lebih baik untuk Sibu tetapi juga meninggalk­an imej bersih kepada semua terutama pelancong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia