Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki pandu lawan arus rempuh lima kenderaan

-

KEPALA BATAS: Beberapa pemandu kenderaan mengalami kecederaan selepas lima kereta bertembung dengan sebuah kereta dipandu secara melawan arus di Kilometer 116 dan 123.4 menghala utara di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Bertam di sini awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kirakira jam 1.30 pagi itu, pemandu kereta jenis Volkswagen yang melawan arus turut mengalami kecederaan patah tangan kanan manakala pemandu yang lain cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB).

Bagaimanap­un, seorang penunggang motosikal Naim Halidan, 30, yang berada di laluan bertentang­an maut selepas dia terjatuh ke dalam longkang di tengah pembahagi jalan ketika cuba menyeberan­gi lebuh raya itu bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta Volkswagen berkenaan yang sedang memandu dari arah Butterwort­h ke Sungai Petani, Kedah secara tiba- tiba membuat pusingan ‘U’ di laluan yang sama di Kilometer 116 lebuh raya tersebut.

Beliau berkata tindakan lelaki berusia 31 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu telah mengundang padah apabila kenderaann­ya bertembung dengan tiga kereta lain di lokasi berkenaan.

“Lelaki itu tidak berhenti di situ malah terus memandu sebelum keretanya sekali lagi melanggar dua kereta lain di Kilometer 124.3,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Azmi berkata semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kerosakan teruk dan dipercayai suspek memandu laju semasa kejadian itu.

Katanya mayat lelaki yang terjatuh ke dalam longkang turut dibawa ke HKB untuk bedah siasat.

“Polis akan menjalanka­n ujian dadah dan alkohol ke atas pemandu kereta Volkswagen itu bagi siasatan lanjut serta kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 43(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan merbahaya,” katanya.

Kemalangan itu merupakan kejadian kedua melibatkan kenderaan yang dipandu secara melawan arus di Pulau Pinang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia