Utusan Borneo (Sarawak)

ANCAMAN TANAH RUNTUH

Penduduk berdepan risiko berikutan tanah runtuh hanya 15 meter dari rumah panjang Kuala Tutoh.

- Oleh Clare Cinderella

MIRI: Penduduk 77 pintu rumah panjang Kuala Tutoh di sini, berdepan risiko berikutan tanah runtuh berlaku di sebelah hulu dan hanya 15 meter sahaja jaraknya dari rumah panjang mereka sekitar jam 8 malam kelmarin (Sabtu).

Kerisauan tersebut menyebabka­n penduduk kampung bertindak menghubung­i Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong yang kemudianny­a menghubung­i Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi untuk tujuan pemantauan.

Menurut penduduk, kejadian tanah runtuh seperti itu sering berlaku namun runtuhan yang berlaku malam kelmarin adalah yang paling buruk apabila ia berlaku secara berlarutan dan semakin menghampir­i rumah panjang.

Sebanyak lima daripada 77 pintu rumah panjang tersebut dikhuatiri akan menjadi mangsa awal runtuhan tersebut jika tiada tindakan segera dilakukan.

Utusan Borneo difahamkan bahawa laporan berhubung insiden tanah runtuh di rumah panjang berkenaan sudah dibuat beberapa tahun lalu dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah melakukan tinjauan namun tiada tindakan susulan diambil.

Sementara itu, Mackos dalam laporannya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi memberitah­u, kejadian tanah runtuh tersebut telah dimaklumka­n oleh penduduk rumah panjang terbabit kepada beliau menerusi panggilan telefon.

Seramai lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Marudi terpaksa mengambil masa dua jam menggunaka­n bot melalui Sungai Baram untuk sampai ke destinasi di Kuala Tutoh, pagi semalam.

Bagaimanap­un sehingga kini, menurut jurucakap bomba, tanah runtuh tersebut tidak melibatkan apa-apa kemusnahan terhadap rumah panjang berkenaan, namun penduduk rumah panjang diminta sentiasa berwaspada dengan keadaan tersebut.

Hanya beberapa stor yang digunakan untuk menyimpan mesin pengisar padi, set jana kuasa elektrik, enjin bot, selain reban-reban ayam dan tanaman penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh tersebut.

Bagaimanap­un pihak bomba mengesan rekahan tebing susur tersebut dalam jarak 10 meter sahaja dari rumah yang paling hampir.

“Setakat pagi semalam, kejadian tersebut tidak melibatkan apa-apa kemusnahan dan tidak melibatkan sebarang kecederaan penduduk kampung,” jelas jurucakap bomba.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia