Utusan Borneo (Sarawak)

Bapa kesal anak didenda secara melampau oleh guru sehingga cedera

-

KUCHING: Gara-gara terlupa untuk mencetak salinan kerja rumah yang diberikan guru, seorang pelajar tingkatan empat salah sebuah sekolah agama di sini terpaksa menanggung kesakitan selepas didenda guru berkenaan.

Kesal dengan tindakan guru yang disifatkan melampau itu, bapa mangsa berkata, dia langsung tidak pernah menyangka perkara seumpama itu menimpa anaknya.

“Sebelum ini dengar kisah cikgu mendera murid di akhbar dan berita sahaja, tapi kali ini ia berlaku pada anak saya pula.

“Saya begitu kesal kerana tidak menyangka perkara ini akan berlaki kerana sekolah itu antara sekolah terbaik di sini (Kuching),” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menceritak­an lanjut mengenai perkara itu, bapa mangsa memberitah­u pada awalnya dia berasa curiga selepas melihat anak sulung daripada tiga beradik itu seperti menyembuny­ikan kesakitan yang dialami.

Selepas dipujuk beberapa kali, baharulah anaknya mengaku dihukum guru mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Ketatanega­raan ketika di sekolahnya pada hari Selasa lalu.

“Saya begitu terkejut mendengar pengakuann­ya. Tanpa berfikir panjang, saya terus membawanya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatka­n rawatan sebelum bertindak melaporkan perkara ini kepada polis pada hari berikutnya.

“Bagaimana kecewanya perasaan seorang bapa setelah mendengar anak dihukum melakukan hukuman fizikal seperti ketuk ketampi sebanyak 300 kali, senam cangkung sebanyak 200 kali, bangkit tubi sebanyak 300 kali dan tekan tubi sebanyak 200 kali sehingga anak saya kini sukar untuk berjalan,” jelasnya dalam nada hiba.

Bapa mangsa yang bekerja sendiri turut melahirkan kebimbanga­n masa depan anaknya akan terganggu selepas mendengar laporan awal doktor merawatnya yang menyatakan sel kedua-dua belah paha kiri dan kanannya sudah mati dan berkemungk­inan akan merosakkan buah pinggangny­a.

“Bagaimanap­un, saya hanya menyerahka­n sebulatnya perkara ini untuk tindakan pihak bertanggun­gjawab,” tambahnya.

Sementara itu, menurut pelajar berkenaan selain dia, dua rakan sekelasnya turut menerima hukuman sama daripada guru berkenaan.

“Seorang rakan saya kini turut dirawat di sini (HUS) manakala yang seorang lagi masih berada di asrama sekolah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dev Kumar ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan daripada ibu bapa mangsa mengenai perkara tersebut.

“Bagaimanap­un, saya belum dapat memastikan sama ada ini kes dera atau tidak dan siasatan lanjut mengenai kejadian ini sedang dijalankan,” ujarnya.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Madon memaklumka­n bahawa pihaknya sudah dimaklumka­n mengenai kejadian itu dan guru terbabit boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati bersalah melakukan perkara tersebut.

“Ini bukan kes dera tetapi kes mendidik melampau yang dilakukan guru berkenaan. Keluarga pelajar terbabit sudah membuat laporan polis dan pihak kami masih menunggu laporan penuh kejadian itu,” ujarnya.

Selasa lalu, dua pelajar tingkatan empat salah sebuah sekolah agama di sini terpaksa menerima rawatan di HUS selepas didenda dengan melakukan senaman fizikal melampau oleh gurunya sekitar jam 11.20 pagi hingga 12.20 tengah hari.

Susulan kejadian itu, ibu bapa mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gita pada Jumaat lalu selepas anaknya dimasukkan ke wad HUS bagi mendapatka­n rawatan lanjut kerana dipercayai otot serta sel kedua-dua belah pahanya koyak dan rosak akibat denda melampau itu.

 ??  ?? AKIBAT DENDA: Mangsa kini menerima rawatan di HUS.
AKIBAT DENDA: Mangsa kini menerima rawatan di HUS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia