Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki didenda kerana laku khianat cermin tiga kenderaan

-

MIRI: Seorang lelaki didenda RM8,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan cermin tiga kenderaan kepunyaan seorang lelaki lain.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukann­ya serta mengambil kira kepentinga­n awam.

Wilson Maja Jana, 47, dari Skim Penempatan Belia Pujut, Lopeng di sini didapati telah melakukan khianat dengan merosakkan cermin tiga kenderaan termasuk sebuah van kepunyaan Ayub Sahari, 34.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.10 pagi, 20 Julai lalu di hadapan sebuah rumah di Skim Belia Pujut, Lopeng di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada jam 2.10 pagi, 20 Julai lalu, tertuduh telah mengamuk di hadapan rumah pengadu sambil memecahkan cermin tiga kenderaan milik pengadu.

Pengadu tidak mengetahui mengapa tertuduh bertindak sedemikian.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 6.15 pagi hari sama, polis telah menangkap tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong.

Dalam kes berasingan, seorang remaja lelaki didenda RM3,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan memiliki tikettiket loteri haram.

Dariyus Ntan, 19, dari Kapit telah didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntu­kkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n keterangan kes, tertuduh didapati ada memiliki sekeping kertas tiket loteri berangka 10,000 sebagai loteri awam haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.45 petang, 19 Julai lalu di sebuah premis di Pusat Komersil Morsjaya di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman diringanka­n memandangk­an ini adalah kesalahan pertamanya.

Pendakwaan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia