Utusan Borneo (Sarawak)

Hampir dua dekad tiada jangkitan rabies, Sarawak dikejutkan

-

KUCHING: Selepas hampir dua dekad tiada laporan kes jangkitan penyakit anjing gila atau virus rabies dilaporkan di negara ini, Sarawak menjadi mangsa kejutan awal bulan ini apabila wabak itu telah meragut lima nyawa di daerah Serian setakat semalam.

Pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Nor Hisham Abdullah pada 1 Julai lepas bahawa tiga kanak- kanak termasuk dua beradik disah menjangkit­i virus itu telah menggempar­kan penduduk Serian, daerah yang terletak kirakira 25km dari Kalimantan, Indonesia.

Siasatan BERNAMA mendapati sejak awal Mei lagi, penduduk di Kampung Paon Sungai Rimu dan Kampung Paon Sungai Rimu Bakung di daerah itu, sudah melihat perubahan ketara dalam kalangan anjing peliharaan mereka mahupun yang berkeliara­n di kawasan itu.

Haiwan itu dilihat berkelakua­n pelik, gelisah dan agresif, berjalan serta berpusing sekitar kawasan kampung tanpa arah tujuan, menggigit apa sahaja termasuk penduduk, tanaman seperti pokok pisang, ubi kayu dan tebu serta paling utama air liur berlebihan dan ekor melengkung ke bawah.

Beberapa penduduk tempatan menyedari beberapa anjing di kampung itu berbeza watak dan menunjukka­n gejala penyakit dan mereka secara sepakat mengambil tindakan drastik dengan membunuh haiwan itu bagi mengelak berlaku kejadian yang lebuh buruk.

“Anjing ini betul- betul macam zombie, saya pukul dia rebah (jatuh) dua tiga minit kemudian bangun balik dan serang, kita kena pukul di tempat yang betul, baharu dia mati,” kata seorang mekanik di kampung itu, Herman Linus, 30-an, kepada BERNAMA.

Seorang lagi penduduk Kampung Paon Sungai Rimu, yang hanya mahu dikenali sebagai Jonathan, berkata mereka menyedari kelakuan pelik anjing sekitar awal Mei apabila pada waktu malam, anjing peliharaan penduduk akan menyalak dengan kuat seakan mengesan ada ‘penceroboh­an’ berlaku.

“Kami ingat ada anjing luar masuk ke kampung... sebab itu anjing peliharaan penduduk berkelakua­n seperti itu. Tetapi baharu sedar kelakuan pelik itu berpunca daripada penyakit,” katanya.

Menurutnya, penduduk yang digigit anjing segera dibawa untuk mendapatka­n rawatan di klinik serta hospital berhampira­n, namun apa yang berlaku di kampung itu tidak dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa.

Ini kerana, sebelum ini, Sarawak adalah sebuah negeri yang diisytihar bebas virus rabies biarpun bersempada­n dengan Kalimantan yang merupakan kawasan wabak tersebut.

Susulan pengumuman kes positif virus rabies, Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri ( JPBN) Sarawak mengisytih­arkan 20 kawasan di daerah Serian, Kuching dan Tebedu sebagai kawasan wabak rabies.

Sejak kempen suntikan vaksin anti-rabies dimulakan, 17,844 ekor haiwan peliharaan disuntik di daerah berkenaan, terdiri daripada 10,204 anjing dan 7,595 kucing, serta pelbagai haiwan peliharaan.

Walaupun mangsa gigitan anjing gila ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom serta-merta kerana lazimnya virus rabies akan melalui tempoh inkubasi di antara 10 hari hingga enam bulan.

Namun mangsa gigitan dinasihati supaya membersihk­an luka dengan sabun dan air selama kira-kira 15 minit sebelum mendapatka­n suntikan vaksin anti-rabies secepat mungkin.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sarawak ( JPVS) Dr Adrian Susin Ambud berkata kawasan yang diisytihar sebagai kawasan wabak akan bertindak sebagai zon penampan bagi mengekang penularan virus itu dalam kalangan anjing.

Selain memberi vaksin kepada anjing peliharaan, majlis daerah di kawasan sekitar turut bertindak menangkap anjing liar di kawasan wabak.

Penolong Pegawai Veterinar Kanan JPVS Ahtien Ijon berkata anjing dan kucing dalam kawasan wabak tidak boleh dikeluarka­n dari lokasi tersebut selepas pengisytih­aran dibuat.

“Mereka yang melanggar arahan boleh dikenakan kompaun RM5,000 atau tiga bulan penjara,” katanya yang turut dalam sesi taklimat kepada orang ramai bertujuan meningkatk­an kesedaran bahaya wabak tersebut di sekolahsek­olah serta kampung sekitar kawasan wabak.

Bagi Dr Adrian, pemvaksina­n berpusat kepada haiwan peliharaan yang dilaksanak­an untuk mengurangk­an risiko penularan wabak juga mendapat pujian pelbagai pihak kerana pemvaksina­n berpusat lebih berjaya berbanding jika dibuat secara rumah ke rumah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia