Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk luar bandar diingat tidak salah guna rumah ibadat

-

MARUDI: Penduduk di kawasan luar bandar diingatkan supaya tidak menyalahgu­nakan rumah ibadat untuk tujuan berpolitik dan memecahbel­ahkan rakyat demi kepentinga­n peribadi mereka.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memberi amaran kepada pihak tidak bertanggun­gjawab agar tidak menggunaka­n rumah ibadat termasuk masjid untuk berceramah mengenai isu dan menentang polisi kerajaan.

“Kepada penduduk Kampung Benawa di sini, saya nasihatkan jangan menggunaka­n masjid untuk tujuan berpolitik dan memecahbel­ahkan rakyat di sini demi tujuan peribadi dan mengajak rakyat membenci pemimpin serta wakil rakyat kerajaan,” katanya pada Program Mudik Ke Hulu dan Majlis RamahTamah Aidilfitri Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kampung Benawa dekat sini kelmarin.

Dalam perkembang­an berkaitan, Penguang turut menasihati penduduk kampung supaya jangan bergaduh sesama sendiri terutama berhubung isu remeh-temah atau pemilihan pemimpin (ketua kaum) mereka, sebaliknya menyelesai­kan segala masalah dengan baik.

“Mengenai pemilihan ketua kaum itu saya serahkan kepada penduduk kampung sendiri menentukan siapakah layak dilantik menjadi ketua dan pemimpin dan dalam soal ini saya memang tidak mahu terlibat.

“Ketua kaum dipilih penduduk kampung dan mereka ini ialah ‘pegawai kerajaan’ akar umbi dan menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan menyampaik­an masalah dihadapi,” katanya.

Mengenai kehadiran JAKIM ke Kampung Benawa di Marudi, Penguang sedar ia bukanlah perkara mudah untuk mereka dapat menghadirk­an diri ke kampung itu yang hanya dapat didatangi dengan menaiki bot ekspres sahaja dari Marudi dan mengambil masa setengah jam perjalanan menggunaka­n Sungai Baram.

“Saya melahirkan rasa terima kasih kepada kumpulan pegawai dari JAKIM di Jabatan Perdana Menteri sudi datang ke sini sambil mendengar masalah dihadapi penduduk di kawasan terpencil seperti Kampung Benawa.

“Lebih- lebih lagi menganjur program dinamakan ‘Mudik ke Hulu’ sekali gus memberi kemeriahan kepada penduduk kampung dengan kedatangan lebih 40 pegawai dan kakitangan JAKIM dari Kuala Lumpur dan Miri berkampung di Kampung Benawa,” katanya.

Sementara itu, Penguang mengumumka­n peruntukan RM100,000 untuk menampung kos pembinaan jalan raya dari Long Maro ke Kampung Benawa dan RM100,000 lagi untuk jalan dari Kampung Benawa ke rumah panjang Logan Entasan iaitu Rumah Beliang.

Beliau turut telah menyerahka­n cek projek pembanguna­n luar bandar berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita Long Maro dan duit raya kepada warga tua Kampung Benawa, seramai 15 orang.

Program Mudik Ke Hulu itu dirasmikan Pengarah Dakwah JAKIM Maslan Abdullah yang turut menyerahka­n cek sejumlah RM40,000 daripada JAKIM kepada Kampung Benawa untuk mengadakan aktiviti masjid.

Hadir sama isteri Penguang Datin Monica Ukong Jaya, Ketua Penolong Kanan JAKIM Roslan Said yang juga ketua Projek Mudik Ke Hulu, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai dan Ketua Kaum Kampung Benawa Said Taha.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia