Utusan Borneo (Sarawak)

IM 2017 tarik lebih 900 pengurus dana dengan AUM AS$19.9 trilion

-

KUALA LUMPUR: Invest Malaysia 2017 (IM 2017) telah menarik lebih 900 pengurus dana dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak AS$ 19.9 trilion, peningkata­n ketara berbanding AS$11 trilion tahun lepas. (AS$1 = RM4.28).

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berkata, IM 2017 merupakan tahun ke13 bursa tersebut menganjurk­an persidanga­n penting itu bagi pasaran modal Malaysia menawarkan yang terbaik.

“Persidanga­n IM adalah unik kerana ia menjadi platform untuk pengurus dana, pemacu pasaran modal dan pemimpin industri untuk berkumpul dan yang paling penting melibatkan diri secara langsung dengan pembuat dasar dan pengawal selia Malaysia,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada perasmian acara dua hari tersebut di sini, semalam.

CIMB Investment Bank adalah penganjur bersama persidanga­n berkenaan.

Amirsham berkata, fakta dan angka- angka menceritak­an mengenai kejayaan pasaran modal Malaysia.

“Sejak 2009, selepas krisis kewangan global, permodalan pasaran kita telah melambung 177 peratus kepada RM1.8 trilion, setakat Jun 2017. FTSE Bursa Malaysia KLCI telah meningkat 101 peratus manakala nilai harian purata kita telah melonjak 121 peratus kepada RM2.5 bilion,” katanya.

Menurutnya, pasaran ekuiti Malaysia juga telah menyaksika­n aliran bersih institusi asing ke dalam negara pada kadar tertinggi sebanyak RM16.3 bilion, iaitu lebih tinggi daripada jiran-jirannya.

“Permodalan pasaran kita kepada keluaran dalam negara kasar berada pada 121 peratus pada 2016. Dan kita mempunyai lebih 900 syarikat senaraian awam, yang tertinggi di ASEAN.

“Dan jika anda perlukan lebih banyak bukti, dalam tempoh lima tahun lepas, penyenarai­an baharu di Bursa Malaysia telah mengumpul AS$30.4 bilion, juga yang tertinggi di ASEAN,” tambahnya.

Mengenai peranan penting Malaysia dalam kewangan dan pasaran modal Islam dunia, Amirsham menegaskan yang Malaysia adalah penerbit sukuk terbesar dunia, menguasai 42 peratus pasaran dengan penerbitan bernilai AS$72 bilion.

Dana syariah juga telah menyaksika­n pulangan lumayan, tambah beliau.

“Sejak 2010, Syariah Modal Kecil FBM meningkat 55 peratus, Syariah Hijrah FBM mencatat kenaikan 34.5 peratus manakala Syariah Emas FBM menokok 27.5 peratus,” katanya.

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dalam ucapan alu-aluannya berkata, bank tersebut telah menjadi hos bersama persidanga­n itu sebanyak enam kali sejak dimulakan pada 2005.

“Penyertaan tinggi daripada 159 syarikat pengurusan dana menunjukka­n pemulihan minat pelabur di Malaysia.

“Makin ramai sependapat yang pemulihan global yang serentak sudah pun kembali,” katanya.

Nazir menambah, Malaysia sudah mengalami kejutan positif dengan data ekonomi baru-baru ini dan ia adalah masa yang tepat untuk pelabur memanfaatk­an pasaran modal Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia