13 KEMENTERIAN, JABATAN, AGENSI S’WAK CEMERLANG
Sebanyak 13 daripada kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sarawak yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) menerima pengiktirafan cemerlang atau lima bintang untuk pengurusan kewangan mereka pada 2016.
Bagaimanapun dua jabatan (kerajaan) negeri mendapat pengiktirafan ‘kurang memuaskan’ atau ‘dua bintang’
Perkara itu dinyatakan Ketua Audit Negara (KAN) Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam Laporan KAN Siri 1, 2016 yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi JAN semalam.
Lapan kementerian, jabatan, agensi menerima pengiktirafan baik manakala empat lagi memuaskan.
Beliau berkata 13 kementerian, jabatan, agensi yang mendapat pengiktrafan cemerlang (mendapat markah 90 peratus dan ke atas) ialah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (SSD), Pustaka Negeri Sarawak, Kementerian Utiliti, Yayasan Sarawak dan Jabatan Kehakiman Syariah.
Manakala dua jabatan yang mendapat pengiktirafan ‘kurang memuaskan’ ialah Jabatan Muzium Sarawak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Lapan lagi kementerian, jabatan, agensi mendapat pengiktirafan ‘baik’ iaitu Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Kementerian Kerajaan Tempatan, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah, Majlis Daerah Bau, Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti, Jabatan Kebajikan dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan.
Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak diiktiraf ‘memuaskan’ untuk pengurusan kewangannya bagi tahun 2016.
“Secara umum, pencapaian pengurusan kewangan, kementerian, jabatan, agensi adalah baik dengan mata purata dicapai 85.6 peratus,” jelasnya.
Beliau menambah, pengurusan kewangan boleh diperbaiki jika beberapa langkah diambil termasuk memberi latihan dan kursus berterusan kepada pegawai terlibat untuk meningkatkan pengetahuan serta kecekapan bekerja.
“Selain itu, pengawasan dan pemantauan intensif daripada ketuaketua jabatan perlu ditingkatkan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beliau telah mengemukakan 31 saranan bagi membantu kerajaan negeri membetulkan kelemahan-kelemahan dikenal pasti dan mengelak kekeliruan berulang.
Beliau memberitahu, laporan KAN juga telah dikemukakan kepada Pejabat Ketua Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.
“Saya harap laporan ini akan digunakan sebagai asas untuk memperbaiki kelemahan, memperkuat usaha peningkatan, meningkatkan kebertanggungjawaban dan integriti serta mendapatkan nilai wang bagi setiap perbelanjaan dilakukan seperti diinginkan kerajaan,” katanya.