Simposium Penglibatan Industri merancakkan pembangunan ekonomi
ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa mencadangkan nama Batang Ai Ili ditukar kepada Batang Ai Skrang sahaja susulan pembangunan pesat di kawasan tersebut.
Menurut beliau, jika sebelum ini kawasan Batang Ai Ili, Skrang jauh terpencil tanpa mempunyai jaringan jalan raya, bekalan elektrik 24 jam serta bantuan bekalan air menerusi pengagihan tong penyimpanan air, namun kini semua itu sudah dinikmati penduduk rumah panjang di sini.
“Sepuluh tahun lalu jika saya dan Nyalau (Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak) bercakap tentang bekalan elektrik dan jalan raya di kawasan Batang Ai Ili ini, pasti ramai yang mencebik mulut mengatakan ia sekadar angan-angan dan temberang sahaja.
“Namun kini, semua itu ternyata benar dan kami sebagai wakil rakyat tidak akan berjanji tanpa melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan dan sedar segala kemudahan insfrastruktur itu adalah hak rakyat yang harus kami tunaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Atap serta Ngiling Bidai di Rumah Imau Sudin, Tanjong, Batang Ai, Skrang yang turut dihadiri Nyalau.
Tambahnya, sebelum ini penduduk di 27 rumah panjang di sini hanya bergantung sepenuhnya kepada sungai sebagai medium penghubung ke bandar Sri Aman dan sebaliknya namun kini tidak lagi selepas adanya jalan raya.
“Dulu, untuk ke Sri Aman penduduk harus bangun awal kerana jarak rumah panjang ke Sri Aman sekitar dua ke tiga jam perjalanan namun kini hanya 20 minit sahaja... dan ia mungkin lebih panjang jika paras air naik dan deras selain ancaman buaya,” katanya.
“Namun kini semua itu sudah berlalu apabila penduduk bebas bergerak dan terkini penduduk sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam dan pastinya taraf hidup penduduk sudah setanding bandar.
“Ini bermakna perkataan ‘ Ili’ tidak sesuai lagi memandangkan Ili jika diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia bermakna hilir dan jauh dari pembangunan,” katanya sambil menambah, kini menumpukan pengagihan bekalan air bersih.
Bercakap lanjut, Dr Rayong menyarankan penduduk agar bersatu dan berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini ditunjangi Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dalam memperjuangkan hak Sarawak di peringkat persekutuan.
“Saya pasti akan lebih banyak pembangunan bakal dinikmati rakyat di konstituensi ini pada masa akan datang kerana ia adalah hak rakyat Sarawak termasuk warga Engkilili.
“Maka itu saya menyeru kepada anda semua terutama pengundi menyokong calon BN terutama pada PRU14 akan datang menerusi calon boleh menang kita iaitu Nyalau,” katanya.
“Hanya BN dapat merealisasikan harapan dan impian rakyat dalam memajukan kawasan luar bandar dan ia adalah misi serta visi kerajaan yang diilhamkan oleh Allahyarham Tok Nan (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem) agar jurang pembangunan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan negeri ini mencapai status negeri maju menjelang 2030, justeru mahu rakyat segera mempersiapkan diri agar tidak terus ketinggalan berbanding kaum lain.
“Anda banyak tanah, justeru tidak ada sebab untuk tidak dibangunkan dengan mengusahakan tanaman bernilai komersial seperti kelapa sawit, getah, lada, koko selain menternak ikan, itik serta sarang burung,” tegasnya dan menambah, ibu bapa tidak harus mengabaikan pendidikan anak-anak kerana ia kunci masa depan pelajar itu sendiri.
Sementara itu, Nyalau yang turut berucap turut senada dengan Dr Rayong mengajak rakyat memajukan tanah mereka.
“Apa guna anda bercakap ke hulu ke hilir mengatakan kaya tanah namun dari segi pendapatan tidak setimpal dengan keluasan tanah yang dimiliki.
“Maka itu, saya menyeru kepada anda semua agar mengusahakan tanah itu dengan sebaik mungkin dengan mendapatkan khidmat pakar daripada agensi kerajaan relevan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Bank Pertanian dan sebagainya,” katanya.
Mengenai bekalan air, Nyalau memberitahu bahawa beliau telah menghadiri satu sesi dialog dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar di Lubok Antu dan dimaklumkan terdapat dana bernilai RM100 juta akan disediakan untuk mengatasi bekalan air bersih di Parlimen Lubok Antu.
“Ketika ini kerajaan sedar bekalan air bersih serta tekanan air rendah adalah masalah utama, maka satu sesi dialog telah diadakan baru-baru ini dan berharap satu keputusan positif dapat diambil selepas ini memandangkan sungai kini tidak lagi selamat digunakan berikutan ancaman buaya ganas,” katanya.
Pada majlis sama, Dr Rayong mengumumkan pemberian geran MRP bernilai RM10,000 untuk Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Imau Sudin, Biro Wanita mendapat RM5,000 untuk dana membina stor penyimpanan peralatan dapur serta meluluskan RM100,000 lagi untuk pembelian jubin lantai.
Manakala Nyalau memperuntukkan sejumlah RM5,000 untuk pembelian alat pemadam api, Biro Wanita mendapat RM5,000, dana ubah suai ‘ ruai’ sebanyak RM20,000 dan RM200,000 lagi untuk pembinaan jalan di belakang rumah panjang itu.
Hadir sama ke program tersebut ialah Pegawai JASA Engkilili Edwin Ancheh, Penghulu Gerang Anchih, wakil Majlis Daerah Lubok Antu Melo Agan, Pembantu Khas Nyalau Kaunselor Zaini Aji, wakil parti komponen Barisan Nasional, kaunselor, tuai rumah serta masyarakat sekitar Batang Ai Ili. SIBU: Simposium Penglibatan Industri dilancarkan di sini semalam secara ringkasnya mencerminkan inisiatif kerajaan merancakkan pembangunan ekonomi di seluruh negeri ini.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata kerajaan negeri mengambil banyak inisiatif menerusi agenda pembangunan ekonomi mapan dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur luar bandar, ekonomi digital, perumahan mampu milik, Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembangunan pelbagai sektor industri seperti pertanian, pendidikan, pelancongan dan petrokimia.
Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif diambil Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak ( PPKS) sebagai usaha menjangkau penglibatan pelbagai pihak berkepentingan di sini khususnya hab wilayah tengah Sarawak.
“Untuk merealisasikan inisiatif itu, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi mengenal pasti isu, cabaran, keperluan dan peluang berkaitan merumuskan pelan komprehensif memperbaiki sistem pendidikan di Sarawak.
“Saya harus menekankan dalam ekonomi global kejayaan negara bergantung kepada pengetahuan, kemahiran, kecekapan dan inovasi rakyatnya,” katanya menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee di sini semalam.
Manyin berkata, semasa negeri ini menuju merealisasikan pelbagai objektif pembangunan, industri-industri seluruh negeri memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insane dalam kalangan belia.
Justeru, beliau menggesa para majikan supaya menerima lebih ramai graduan atau belia lepasan sekolah dengan kelayakan atau kelayakan dengan kemahiran.
Katanya, ini menjadi usaha jangka panjang membuka jalan kepada generasi muda mengasah kemahiran mereka dalam bidang berkaitan dengan industri.
“Saya menyokong inisiatif Kementerian Sumber Manusia dalam menggalakkan majikan menyokong Program Perantisan sebahagian dibiayai Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF),” katanya.
Beliau sedar PPKS adalah penyedia latihan diluluskan untuk menjalankan Program Skim Perantisan kursus seperti Juruteknik Kimpalan, Mekatronik, Juruteknik Elektrik dan Juruteknik Maklumat (IT).
Katanya, PPKS sebagai Pusat Kecemerlangan dalam Teknologi (CoET) diberikan kelulusan melaksanakan Pemberdayaan Nasional dalam Persijilan dan Latihan Pekerja- Pekerja Generasi Seterusnya ( NECT- Gen - Industry 4.0), program syarikat-syarikat menganjurkan levi.
“Program ini untuk mengesahkan dan meningkatkan tenaga kerja semasa dan generasi seterusnya melalui program penjanaan dan latihan teknologi bernilai tinggi.
“Ia ditaja oleh HRDF di bawah geran khas dan tidak ada potongan levi atau pembayaran diperlukan,” jelas beliau.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif PPKS Hallman Sabri berkata Simposium Penglibatan Industri merupakan yang kedua dianjurkan oleh PPKS tahun ini.
Katanya, simposium julung kalinya diadakan pada April lalu di Kuching dengan penglibatan lebih 100 peserta pelbagai agensi kerajaan dan industri.
“Pada simposium ini, kami membincangkan pelbagai isu berkaitan majikan dan peluang latihan tenaga kerja seperti peranan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dalam pembangunan modal insan, faedah skim perantisan, peningkatan kemahiran dan menyediakan tenaga kerja belia akan datang.
“Sesungguhnya, adalah penting tenaga kerja berkembang maju dalam ekonomi global semakin pesat ini,” katanya sambil menambah, merancang menganjurkan program serupa di bandar lain di Sarawak untuk kepentingan PPKS dan industri keseluruhannya.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Teknologi Kolej Sarawak (UCTS) Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Salemah Chali serta tetamu lain.