Anggota JBPM digesa komited realisasi visi
KUCHING: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak digesa meneruskan komitmen bagi merealisasikan visi untuk menjadi sebuah organisasi kebombaan dan penyelamatan yang berprestasi tinggi.
Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata, ia terbukti apabila pihak JBPM Sarawak baru-baru ini telah mendapat beberapa pengiktirafan, antaranya pencapaian Kumpulan Fire One oleh Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng yang berjaya merangkul Anugerah Emas dalam Konvensyen Mini Team Excellence 2017 Wilayah Sarawak pada 11 April lepas.
Balai bertkenaan turut menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2016 (Cemerlang) daripada Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Pencapaian ini diperolehi hasil komitmen dan usaha seluruh warga kerja JBPM Sarawak.
“Pihak kita juga telah mengekalkan kesinambungan budaya persekitaran berkualiti ( QE) di mana premis pejabat seperti Pejabat Zon 2, BBP Siburan, BBP Bau, APBM Wilayah Sarawak dan Kompleks Ibu Pejabat telah berjaya memperbaharui persijilan QE daripada MPC,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya di sini semalam.
Malah beliau turut menyentuh berkenaan aspek pengurusan masa yang merupakan asas kepada pengurusan kendiri yang akan menentukan kejayaan pengurusan lain.
Namun tambahnya, telah menjadi fitrah manusia, ia merupakan perkara paling sukar untuk diuruskan mereka.
Ini kerana jika kita menguruskan masa dengan baik, maka kita akan menguruskan perkara lain juga dengan baik, jelasnya.
“Masa merupakan aspek utama yang diukur dalam menentukan kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan.
“Setiap saat yang berlalu untuk sampai ke tempat operasi akan memberi kesan kepada trauma, membahayakan nyawa mangsa dan jumlah kemusnahan harta benda,” katanya.
Justeru, katanya JBPM Sarawak telah menambah baik prosedur operasi standard ( SOP) dan prosedur kerja untuk memastikan khidmat bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan secepat mungkin kepada mangsa.
L a n g k a h t e r s e b u t dikuatkuasakan untuk mengurangkan masa mengeluarkan jentera, masa ke tempat kejadian dengan menempatkan dua petugas di bilik kawalan balai dan menambah baik siar raya serta pelaporan.
Selain itu, anggota ketika bertugas juga dilarang sama sekali melanggar peraturan larangan keluar balai.
Kegagalan mematuhi larangan tersebut akan dikenakan tindakan disiplin, tegasnya.
L a t i h a n b e r t e r u s a n mengikut JTH di balai juga bakal diperkasa tidak mengira syif siang atau malam.
Semalam turut diadakan upacara pemakaian tanda pangkat kepada para pegawai yang telah dinaikkan pangkat ke gred lebih kanan.
Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Mohd Ali Bahudin yang akan bersara wajib bermula hari ini turut diberi penghormatan terakhir.
Beliau telah berkhidmat di bawah JBPM sejak 1977 iaitu 40 tahun perkhidmatan dan pada hujung perkhidmatan, beliau diberi penghormatan untuk bekerja di Sarawak dan di bawah pentadbiran Nor Hisham.
Ali berkongsi pengalaman suka dan duka sewaktu bertugas di Sarawak yang katanya amat berbeza dengan negeri-negeri lain berdasarkan kedudukan geografi negeri ini.
Katanya peluang untuk berada dalam keadaan selamat amat tipis berbanding negerinegeri lain di Malaysia.
Beliau sepanjang bertugas begitu menghargai kerjasama antara pelbagai agensi yang wujud sejak sekian lama, iaitu pengarah dan anggota JBPM Sarawak selain media tempatan yang begitu baik dengan memberi liputan meluas pada bila-bila masa.
Menurut Nor Hisham, Ali banyak membantu dalam mentadbir urus organisasi JBPM Sarawak sehingga ke tahap hari ini.
Pada masa yang sama tugas timbalan pengarah JBPM Sarawak akan dipangku sementara oleh Tiong sehingga perjawatan tersebut diisi kelak.
Turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sarawak Mohd Fauzi Moht Kifli dan Pengerusi PBS Kampung Bako Indah Noh Yahim.