Lelaki ditahan bantu siasatan kes cabul budak
KOTA SAMARAHAN: Polis menahan seorang lelaki dari Asajaya di sini bagi membantu siasatan berhubung kes cabul kanak-kanak berusia 19 bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan di rumah tidak bernombor di Kampung Tambirat kira-kira jam 2.50 petang Ahad.
“Suspek merupakan saudara jauh kepada keluarga kanak- kanak tersebut.
“Kini dia direman tujuh hari sehingga 8 Ogos ini,” kata Dev dalam kenyataannya, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata kes itu disedari ibu mangsa apabila mendapati ada kesan lebam pada bahagian sulit anak perempuannya semasa menukar lampin.
Susulan itu, katanya dia kemudian memaklumkan perkara itu ke- pada suaminya.
Menurut Dev, selepas itu seorang lagi anak perempuannya berusia lima tahun turut mengadu dicium suspek dan disuruh melakukan aksi seks.
“Suspek juga dikatakan telah memasukkan jarinya ke dalam alat sulit mangsa.
“Bapa mangsa bertindak membuat laporan polis di Kota Samarahan sejurus mengetahui perkara itu,” katanya.
Dev berkata setakat ini, Sarawak telah merekodkan dua kes di bawah Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sebelum ini, kes pertama direkodkan pada 13 Julai lalu membabitkan mangsa berusia 16 tahun.
Menurut beliau, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 14(a) dan (d) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.