Belajar untuk sebar maklumat
MASALAH komunikasi akibat tidak mahir berbahasa Mandarin menyebabkan lapan peserta Kembara Inspirasi Haji mengalami kesukaran menyebar maklumat kepada masyarakat China yang ingin tahu tentang pengembaraan mereka ke Tanah Suci.
Bagaimanapun, Mohd Izam Mahd Nor berusaha mengatasi halangan berkomunikasi itu dengan mempelajari bahasa berkenaan dengan Andy Yuan, seorang pemandu pelancong dari China yang mengiringi peserta kembara itu sepanjang pengembaraan mereka di negara tersebut.
Mohd Izam mengambil kesempatan mempelajari bahasa itu bersama Andy ketika kedua-duanya berada dalam kenderaan sepanjang perjalanan.
“Bagi saya bahasa Mandarin bahasa istimewa … namun saya belum pandai tetapi saya akan terus mencuba selagi saya ada di China,” kata Mohd Izam apabila ditanya mengenai langkah selanjutnya selepas meninggalkan China nanti.
Mohd Izam begitu cepat dan cekap menguasai bahasa Mandarin walaupun tidak pernah bertutur bahasa itu sepanjang hayatnya.
Ada kala beliau berpandukan aplikasi berbahasa Mandarin melalui telefon bimbit sebagai rujukan dan terjemahan semasa bertutur dengan warga China.
Sikap bersahaja Mohd Izam membuatnya tidak segan silu malah mempunyai keyakinan tinggi untuk bertutur dalam bahasa itu dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya.
Beliau yang suka berseloroh juga tidak akan berasa malu sekiranya menyedari telah melakukan kesilapan dalam sebutan ketika bertutur malah akan memperbetulkan kepincangannya itu.
Lazimnya tiada siapa yang akan memarahi atau menegurnya malah hanya tersenyum jika dia tidak menyebut perkataan dengan jelas dan tetap kerana mereka memahami Mohd Izam seorang pengembara asing yang cuba mempelajari bahasa itu.
Ada kalanya nama Chong Wei dan Lin Dan, pemain hebat badminton dunia, disebut-sebut oleh Mohd Izam sebagai memperkenalkan Malaysia kepada warga China yang samar-samar mengenai Malaysia.
Ditanya mengenai pengalamannya menjadi peserta paling muda, Mohd Izam berkata: “Setakat ini terlalu banyak benda baharu, pengembaraan ini satu peluang bagi saya untuk mencuba dan memahami .. terlalu banyak yang saya pelajari dan lalui.”
Ini adalah kali pertama beliau menyertai sebarang pengembaraan yang telah memberinya pengalaman dalam hidup sebagai seorang pengembara.
Pengembaraan anjuran Pertubuhan Kembara Amal (#PEKA) setakat ini menghampiri 7,000km melalui Thailand dan Laos dan beberapa bandar di China seperti Shadian, Kunming, Mengla, Dali, Lanzhou, Wei Yuan di Wilayah Yunan, Sichuan dan Gansu.
Pengembaraan itu dijangka menempuh perjalanan sejauh 16,000km yang akan turut merentasi Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu sebelum menaiki kapal terbang ke Jeddah beberapa hari sebelum wukuf. — Bernama