MENANTU BERTOPENG
SIBU: Terjaga akibat jeritan, seorang suami terus bingkas dan bertindak melawan seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau lipat yang sedang bergelut dengan isterinya di sebuah rumah di Sibu Jaya dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi, mangsa, 52, terdahulu ternampak pergelutan antara isteri dan lelaki tidak dikenali di ruang tamu rumahnya.
Demi keluarga, mangsa cuba menghalang suspek daripada mencederakan isteri, 46, yang mengalami luka di tangan kiri akibat terkena libasan pisau lipat.
Tatkala berdepan situasi mencemaskan, mangsa telah menyuruh isterinya memaklumkan kejadian kepada pihak polis memaksa suspek beredar dari situ.
“Suspek bertopeng, tetapi saya cam suaranya ketika mempertahankan diri,” katanya ketika ditemui semasa menerima rawatan di Hospital Sibu kemudian.
Katanya, dia terkejut apabila sempat melihat suspek melarikan diri sambil membuka topengnya dan mendapati suspek adalah menantunya sendiri yang bekerja sebagai pemandu lori.
Tambahnya, nasib baik cucunya (anak suspek) yang juga berada di rumah tidak diapa-apakan semasa
Penyerang cederakan pasangan suami isteri rupanya menantu sendiri.
kejadian.
“Saya tak tahu sebab menantu saya bertindak menyerang kami berdua secara tiba-tiba,” ujarnya.
Selepas insiden itu, pengadu terus pergi ke Balai Polis Sibu Jaya untuk membuat laporan.
Mereka kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan dan si suami telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah berkata, pengadu mengalami cedera ringan di bahagian lengan kiri, hidung dan mulut, manakala isterinya juga cedera ringan di bahagian tangan kiri akibat terkena libasan pisau lipat.
Menurut beliau, suspek, 31, berjaya dikesan dan ditangkap sekitar jam 5.30 petang semalam dan akan direman hari ini.
Saiful memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata tajam.