Jangan terperdaya sindiket minta bayaran selesai kes kemalangan
KUCHING: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sarawak menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan satu sindiket yang menyamar sebagai pihaknya dan akan meminta bayaran untuk menyelesaikan kes kemalangan.
Menurut Ketuanya Superintenden Alexson Naga, terdapat banyak laporan diterima berhubung perkara tersebut yang telah memburukkan serta menjatuhkan nama baik pihak polis khususnya JSPT.
“Sebagai peringatan, mana-mana orang awam yang menerima panggilan palsu ini dinasihati tidak terperdaya dengan panggilan tersebut.
“Pihak PDRM (Polis DiRaja Malaysia) khususnya JSPT tidak pernah mengenakan atau meminta apa-apa bayaran untuk menyelesaikan kes kemalangan yang berlaku kecuali bayaran untuk salinan dokumen atau permohonan pengadu.
“Setiap bayaran untuk dokumen tersebut akan dikeluarkan resit rasmi kerajaan,” tegas Alexson dalam satu kenyataan di sini semalam.
Justeru, beliau memin- ta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar segera menghubungi pihaknya di talian 082274018, 082 274264, 082-274259 atau terus ke talian JSPT Kuching di talian 082-221127.
“Jangan dedahkan maklumat peribadi seperti kad pengenalan, nombor kad ATM ( bank), akaun bank dan alamat kediaman sekiranya menerima panggilan daripada sindiket ini, sebaliknya hubungi pihak kami agar tindakan untuk mengesan sindiket ini dapat dijalankan,” jelasnya.