K’jaan harus perjelas tindakan diambil berikutan laporan audit tidak memuaskan, kata Baru
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan negeri menjelaskan tindakan diambil bagi menangani masalah Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang tidak memuaskan bagi prestasi Sarawak.
Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata, adakah hasil laporan sedemikian menunjukkan isu salah urus yang serius serta pengawasan kewangan yang lemah di negeri ini.
“Apakah tindakan yang akan diambil kerajaan hasil daripada laporan Ketua Audit Negara?
“Seseorang mesti dipertanggungjawab dan saya berharap pendedahan ini tidak akan menjadi seperti laporan lain di mana tiada tindakan diambil untuk menangani masalah tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat PKR di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Ba’Kelalan itu berkata demikian bagi mengulas Laporan Audit Negara 2017 dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melihat keperluan menubuhkan pasukan khas untuk melihat isu rasuah dalam laporan audit jabatan kerajaan yang dikeluarkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan terdapat isu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang boleh dilihat dengan lebih teliti untuk diambil tindakan lanjut.
Di Sarawak, ketua audit negara mendapati sebuah perbadanan di negeri ini membayar RM2.88 juta kepada dua kontraktor untuk mengecat semula 12 unit perumahan awam, tetapi kerja itu tidak pernah dijalankan.
Ketua audit negara me- nambah, perbadanan itu tidak mematuhi peruntukan Akta Prosedur Kewangan dan peraturan pemerolehan lain untuk satu projek naik taraf di Sibu, apabila pembayaran didahulukan tanpa kebenaran yang diperlukan.
Sehubungan itu kata Baru, kerajaan negeri harus mempertimbangkan dengan baik segala pelaksanaan pembangunan yang dirancang agar tidak mengalami nasib yang sama seperti dinyatakan ketua audit dalam laporannya.
“Kita tahu banyak perancangan pembangunan seperti sistem Transit Aliran Ringan ( LRT), inisiatif ekonomi digital, pembinaan empangan dan sebagainya, ia melibatkan sejumlah besar wang.
“Kesemua ini harus diambil langkah sebaiknya bagi meyakinkan rakyat bahawa pengurusan negeri berada dalam tangan yang baik selain bagi memastikan inisiatif strategik tidak mengalami nasib sama seperti badan yang tersenarai dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.