KL2017: 700 anggota JBPM termasuk Hazmat ditempatkan di semua venue
NILAI: Tujuh ratus anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk pasukan Hazmat dan CBRNe (Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear and Bahan Letupan) akan ditempatkan di semua venue Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Ketua Pasukan Khas Hazmat dan CBRNe M.Murugiah berkata ia adalah sebagai kesiapsiagaan pasukan itu bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika temasya KL2017 berlangsung.
“Kesemua 700 anggota ini tidak lagi terlibat dalam operasi biasa dan mereka akan ditempatkan kluster iaitu Bukit Jalil, KLCC (Kuala Lumpur City Centre), MITEC (Malaysian Interna- tional Trade and Exhibition Centre), Putrajaya dan juga acara perseorangan seperti berbasikal, ekuestrian dan sukan layar di Langkawi.
Kita juga telah membuat pemeriksaan rapi sejak dua bulan lepas di hotel- hotel penginapan atlet dan juga kawasan perhimpunan awam bagi memastikan tiada ancaman bahan kimia dan radioaktif di kawasan tersebut bagi kelancaran Sukan SEA,” katanya di sini, semalam..
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas demonstrasi kesiapsiagaan dan persiapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sempena KL2017 di Pusat Penyelidikan dan Kebombaan (Puspek) di Bandar Enstek, di sini. Turut hadir Ketua Kajian Operasi Kebombaan Puspek Zainuddin Md Alip.
Mengulas lanjut, Murugiah berkata kesemua 700 anggota berkenaan akan mula ditempatkan di venue-venue berkenaan bermula 17 Ogos ini termasuk dua anggota yang akan ditempatkan di setiap hotel penginapan atlet, yang keseluruhan berjumlah 66 buah. — Bernama