Pasukan tempatan dapat pendedahan melalui penganjuran sukan antarabanga
MIRI: Penyertaan pasukan antarabangsa dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Menteri Sarawak 2017 Jemputan Antarabangsa mampu memberi pendedahan kepada pemain tempatan bersaing dengan pasukan luar negara.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Sarawak ( PSS) Datuk Seri Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki berkata penganjuran julung kali kejohanan ini bertujuan menonjolkan bakat pemain sepak takraw di Sarawak.
“Suatu ketika dahulu, Sarawak dikenali sebagai negeri yang telah mencapai tahap tertinggi dalam permainan sepak takraw.
“Setelah kita melihat ter- dapat penurunan prestasi, jadi kita mengadakan pelbagai pertandingan termasuk melibatkan pemain antarabangsa agar ia menjadi satu batu loncatan untuk pemain Sarawak setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual pemberita semasa Majlis Perasmian Pembukaan Perlawanan di Stadium Bandaraya Miri di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Agung PSS Fudin Chee, Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Miri ( PSBM) Mohamad Udzair Mokhtar Khan dan Setiausaha PSBM Azami Bakar.
Sementara itu, Abang Khalid berkata pihaknya kini dalam proses untuk mempertingkatkan mutu sepak takraw di Sarawak terutama bagi pasukan wanita.
“Kita telah menerima banyak penyertaan kaum wanita dalam sepak takraw dan kini memang ada program pembangunan untuk melatih golongan wanita agar dapat mengangkat mutu sepak takraw di negeri ini.
“Selepas kejohanan ini, kita juga telah merancang beberapa lagi siri perlawanan sepak takraw, antaranya Piala Sarawak yang dijangka berlangsung pada bulan November di Lawas dan Piala Pelancongan dalam bulan Oktober di Kuching,” katanya.
Seramai 24 regu termasuk empat regu antarabangsa dari Jepun, India, Brunei dan Thailand berentap bagi merebut Piala Ketua Menteri Sarawak yang bermula semalam dan bakal berakhir esok ( 5 Ogos) di Stadium Tertutup Miri.
Sebanyak 20 pengadil termasuk seorang dari Singapura telah dipilih untuk mengadili kejohanan selama tiga hari tersebut.
Orang ramai dijemput untuk meyaksikan kehandalan pasukan sepak takraw antarabangsa berentap selama tiga hari di Stadium Tertutup Miri.