BEO akan terus manfaatkan kemudahan pengendalian BBSB
BINTULU: Bintulu Edible Oils Sdn Bhd (BEO) melalui perjanjian tambahannya dengan Biport Bulkers Sdn Bhd (BBSB) akan membantu mengukuhkan lagi komitmen syarikat itu untuk terus memanfaatkan kemudahan pengendalian, simpanan serta perkhidmatan yang disediakan oleh BBSB untuk memindahkan produk minyak makan yang dihasilkan oleh syarikat itu.
Di bawah perjanjian itu, BEO memberi komitmen jaminan penghantaran minimum 1.6 juta tan pada tahun 2018 dan meningkat kepada 1.82 juta tan pada tahun 2023 melalui BBSB.
Perjanjian itu baik untuk BBSB yang tidak hanya memberikan hasil yang stabil kepada BBSB untuk tempoh lima tahun akan datang malahan yang penting ia menandakan keyakinan dan dipersetujui oleh syarikat Kumpulan Wilmar terhadap pengurusan BBSB.
BEO di bawah PGEO Group Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Wilmar International Limited serta satu daripada kumpulan perniagaan pertanian bersepadu terbesar di Asia.
Wilmar di kedudukan antara syarikat tersenarai terbesar oleh pasaran modal dalam Bursa Saham Singapura. Aktiviti utama BEO ialah menghasilkan pengeluaran minyak makan daripada minyak sawit mentah dan makanan haiwan daripada kernel sawit.
Aktivitinya bermula dengan penukaran minyak sawit mentah ke dalam produk minyak bertapis dan kernel sawit diedar untuk eksport produk secara pukal ke pasaran antarabangsa.
Minyak masak turut dipasar sebagai pek pengguna di bawah jenama Seri Murni, Tilapia dan Epal untuk pasaran tempatan. Setiap tahun, BEO memproses hampir 2 juta metrik tan minyak makan dan kebanyakannya dieksport ke luar negara seperti China, India, Amerika Syarikat, Belanda, negara Kesatuan Eropah, Timur Tengah, Pakistan, Jepun, Filipina, New Zealand dan Australia melalui BBSB.
BEO telah menggunakan kemudahan dan perkhidmatan BBSB sejak tahun 2008 dan menyumbang kepada 50 peratus penghantaran tahunan BBSB tahun 2016 dan membantu dalam pertumbuhan BBSB.
BBSB pula ditubuhkan pada tahun 2003 untuk mengurus dan mengendalikan operasi terminal pukal minyak sayuran di Pelabuhan Bintulu. Sehingga kini, ia mempunyai 85 tangki simpanan dengan jumlah keseluruhan tangki berkapasiti 154,600 tan metrik dan jeti khusus yang mampu menampung tiga kapal pada satu-satu masa.
Pada tahun 2016, BBSB mengendali sejumlah 3.65 juta tan produk minyak sawit dan dijangka akan mengendali 4.0 juta tan tahun ini.
Dalam pada itu, Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan melibatkan BBSB dan BEO ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Dato Mohammad Medan Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi BBSB, Shamsuddin Ismail yang mewakili BBSB, manakala BEO diwakili oleh Pengurus Besarnya, Lu Khai Ing serta Pengurus Pentadbiran dan Akaun Kanannya, Sia Ting Chang.
Diikuti Perjanjian Kontrak reka bentuk, fabrikasi dan pembinaan empat unit saluran paip pukal dengan Redha Infaq Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Merudi Jabah dan Pengarahnya, Sharifah Zuraini Wan Abu Bakar di Bilik Persidangan Wisma Kontena Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), Tanjung Kidurong semalam.
Sementara itu, Perjanjian Kontrak reka bentuk, fabrikasi dan pembinaan empat unit saluran paip pukal adalah bernilai RM7.8 juta memakan masa pembinaan selama lapan bulan dan dijangka siap akhir Disember 2017.
Projek ini adalah satu daripada perbelanjaan modal utama BBSB tahun ini sejajar dengan komitmen BBSB untuk menyediakan kemudahan pukal yang mencukupi untuk pelanggan jangka panjangnya.
Saluran paip tambahan tidak hanya akan mem- beri manfaat kepada kilang penapisan baharu yang dijangka akan menggunakan perkhidmatan dan kemudahan simpanan BBSB pada suku ketiga tahun 2017 ini tetapi kilang penapisan yang sedia ada dengan memastikan pemindahan minyak secara serentak tanpa gangguan dari semua kilang penapis ke terminal BBSB.
Dengan penapisan baharu, BBSB akan menyediakan perkhidmatan pengendalian dan kemudahan simpanan untuk lima syarikat yang mana kilang penapis bersambung dengan terminal BBSB menerusi rangkaian saluran paip.
Anugerah kontrak kepada Redha Infaq Sdn Bhd adalah saksi atas komitmen BBSB untuk memasti dan menggalakkan penyertaan syarikat Bumiputera Sarawak dalam pelan pembangunan projek terbabit.
Redha Infaq merupakan syarikat kejuruteraan Bumiputera yang berpangkalan di Bintulu dan aktif terlibat dalam kerja-kerja kejuruteraan dan pembekal peralatan. Pelanggan syarikat itu terdiri daripada Malaysia LNG ( MLNG), Sarawak Hidro Sdn Bhd dan Bintulu Port Sdn Bhd.