Kongres Chile longgar larangan pengguguran
SANTIAGO: Kongres Chile kelmarin melonggarkan larangan ketat ke atas pengguguran yang berkuatkuasa sejak zaman pemerintahan kuku besi Augusto Pinochet hampir tiga dekad lalu.
Langkah itu, yang diluluskan dengan undian 22- 13 dalam Senat, membenarkan pengguguran dalam kes rogol, jika nyawa si ibu terancam atau jika janin menampakkan kecacatan kelahiran yang boleh menyebabkan kematian.
Ia kini menunggu keputusan oleh Mahkamah Perlembagaan atas permintaan pembangkang.
Sehingga sekarang, negara Amerika Selatan itu telah menjadi sebahagian daripada sekumpulan kecil negara konservatif yang melarang pengguguran dalam semua keadaan – termasuk Republik Dominika, El Salvador, Gabon, Haiti, Malta, Nicaragua, Filipina dan Senegal.
“Kita berpuas hati. Kita sudah mengemukakan alternatif, dan pilihan penjagaan kesihatan yang selamat, kepada semua wanita, tidak kira apa pun keputusan yang mereka buat,” kata Claudia Pascual, menteri wanita dan kesamarataan jantina.
Di negara yang amat konservatif ini, langkah itu telah menjadi keutamaan bagi Presiden Michelle Bachelet, presiden wanita pertama Chile yang berhaluan kiri dan seorang pakar pediatrik terlatih.
Bachelet sudah berusaha sejak 2015 untuk menarik balik larangan ketat ke atas pengguguran yang dikuatkuasakan pada 1989, pada hari-hari terakhir pemerintahan diktator Pinochet.
Di bawah undang-undang sekarang, pengguguran boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun.
Sebelum perubahan pada era Pinochet, pengguguran sudah dibenarkan di bawah undang- undang di Chile selama lima dekad – dalam kes ancaman kepada nyawa si ibu atau janin yang tidak dapat hidup.
Di bawah undang-undang baharu, peraturan berkaitan pengguguran dalam kes rogol muncul sebagai kontroversi. Dalam kes sedemikian, sekarang mangsa dapat melakukan pengguguran secara sah sehingga 12 minggu selepas kehamilan bermula. Bagi gadis bawah umur 14 tahun, pengguguran dibenarkan sehingga 14 minggu kehamilan.
Jika seorang gadis muda dirogol oleh bapanya, hakim atau penjaga mesti memberikan kebenaran bagi pengguguran. Jika mangsa berusia 14-19 tahun, seorang anggota keluarga mesti dimaklumkan tentang keinginannya untuk melakukan pengguguran.
“Kita sudah meminda peraturan bagi gadis dan wanita muda. Ia adalah salah satu perkara paling sukar untuk ditangani. Selalunya gadis dirogol di rumah mereka sendiri dan oleh anggota keluarga” yang mungkin dilindungi sedangkan gadis terbabit tidak, kata Senator Carolina Goic, seorang calon presiden dari Parti Demokrat Kristian.
Bachelet, selepas berkhidmat pada penggal pertama sebagai presiden, menjadi ketua pertama Wanita PBB – Entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Kesamarataan Jantina dan Pemerkasaan Wanita.
Beliau berjanji untuk melihat pelonggaran larangan dilaksanakan sebelum dia berundur pada Mac 2018.
Kumpulan konservatif selama ini amat berpengaruh di Chile, tetapi pengaruh mereka semakin berkurangan sejak beberapa tahun yang lalu. Warga Chile menunggu sehingga 2004 untuk dapat bercerai, dan sehingga hanya dua tahun lalu untuk menjalinkan kesatuan sivil bagi pasangan sejantina. — AFP