Sibu Drag Battle berjaya menarik ribuan pengunjung
SIBU: Program Sibu Drag Battle 2017 berjaya menarik ribuan pengunjung khususnya peminat sukan permotoran menyaksikan perlumbaan hampir 100 motosikal dan kereta lumba di Lapangan Terbang Sibu lama di sini.
Program dua hari tersebut yang menutup tirainya pada Ahad lalu merupakan anjuran PB Motorsport dengan sokongan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Pengerusi penganjur, Zainudin Abu Talip berkata program itu merupakan edisi ketiga dan antara acara perlumbaan diadakan di wilayah tengah Sarawak.
Program Sibu Drag Battle 2017 berjaya menarik penyertaan peminat sukan permotoran dari seluruh negeri mempertaruh jentera mereka yang diubah suai kelajuan maksimum.
Program itu mengetengahkan dua jenis kenderaan iaitu motosikal dan kereta pelbagai kelas.
Bagi lumba drag motosikal terbahagi kepada tujuh kategori iaitu 2T True Street 150cc, 4T Pro Street 110cc, 2T Pro Street 110cc, 4T Pro Street 150cc, 2T Pro Street 150cc, 4T Terbuka 150cc dan Raja Drag Motosikal.
Lumba drag kereta tu- rut terbahagi kepada tujuh kategori iaitu terbuka diesel turbo, diesel pro street, N/A terbuka, VTEC pro drag, VTEC empat pintu, terbuka turbo bawah 1300cc dan terbuka turbo 660cc.
Menurut Zainudin, kejayaan penganjuran Program Sibu Drag Battle 2017 itu berjaya menarik minat sebuah syarikat minyak swasta di sini menjadi penaja bagi acara sama dijangka diadakan penghujung tahun ini.
Beliau merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak menjayakan program itu di samping sambutan menggalakkan daripada peserta dan pengunjung.
Hadir menyaksikan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri, Romeo Christoper Tegong mewakili Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee.