IBR pastikan SPAN bersih gejala rasuah
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) komited mengekalkan kedudukan institusi itu sebagai antara suruhanjaya yang paling baik dalam aspek menghindari perlakuan rasuah atau amalan salah guna kuasa dalam kalangan warganya.
Komitmen itu diserlahkan melalui kesediaan SPAN menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Seri Jamidan Abdullah semalam.
Pengerusi SPAN Datuk Liang Teck Meng berkata sebagai sebuah badan yang berurusan dengan hal berkaitan penguatkuasaan, perlesenan, permit dan perakuan, SPAN perlu memperkukuh dan membudayakan amalan integriti dalam kalangan warganya bagi menjamin sebarang unsur rasuah dapat dikekang sebelum ia bermula.
Beliau berkata IBR merupakan sebuah dokumen rasmi sebagai tanda pengisytiharan secara individu kakitangan suruhanjaya itu dalam menentang sebarang gejala rasuah yang akhirnya membawa kepada peningkatan ke atas sistem penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan.
“Langkah menandatangani IBR dibuat bukan atas desakan sesiapa tetapi atas inisiatif sendiri kerana percaya kami tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.
“Kami mahu SPAN kekal bersih seputih dan sebersih sepertimana warna putih yang menjadi warna rasmi baju korporat yang dipakai,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani IBR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Liang berkata selain menzahirkan azam untuk berusaha dengan lebih bertanggungjawab dan bebas rasuah dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, IBR itu turut memberi mesej yang sangat signifikan kepada mereka yang berurusan dengan SPAN.
“Apabila terlibat dalam aktiviti kawal selia seperti perlesenan, permit dan agensi perakuan, SPAN juga berdepan risiko tinggi berlakunya jenayah rasuah, jadi IBR ini memberi mesej jelas kepada pihak berkaitan agar tidak mengamalkan rasuah semasa berurusan dengan kami,” ka- tanya.
Pada majlis itu, Liang turut melancarkan Kempen 3J, iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’ peringkat SPAN sebagai antara inisiatif membantu usaha SPRM mencegah budaya rasuah dalam industri di bawah selian suruhanjaya itu.
Bertemakan ‘Gerakan Anti Rasuah Ke Arah Melestarikan Perkhidmatan Air’, agenda kempen itu tidak hanya menumpukan kepada amalan rasuah pada peringkat tertentu sahaja tetapi akan diserapkan di seluruh industri perkhidmatan air di negara ini, katanya.
Dalam pada itu, Jamidan dalam ucapannya memuji langkah SPAN menandatangani IBR yang disifatkan sebagai satu usaha berani dan bertanggungjawab dalam memastikan pengukuhan integriti dan menjauhi amalan rasuah dalam kalangan warga kerja suruhanjaya itu.
Beliau berkata IBR yang merupakan satu usaha pencegahan tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, khususnya dalam aspek tampil melaporkan dan menjadi saksi dalam kes perlakuan rasuah kepada SPRM. — Bernama