Penduduk dakwa syarikat perlombongan emas ceroboh tanah
TANAH MERAH: Kirakira 150 penduduk Kampung Sokor di sini semalam berhimpun secara aman bagi membantah tindakan beberapa syarikat perlombongan emas yang didakwa menceroboh ladang getah mereka di sekitar kawasan Bukit Cadang, Bukit Saujana dan Bukit Kandang Kerbau.
Mereka mendakwa pokok getah mereka telah dimusnahkan syarikat berkenaan untuk melombong bahan mineral itu sejak dua bulan lepas.
Seorang daripada penduduk berkenaan, Mohd Roffi Seman, 53, berkata sebelum ini ada wakil daripada syarikat berkenaan datang berjumpa dengan penduduk dan berjanji akan bayar pampasan antara RM17 dan RM25 bagi sebatang pokok yang ditebang.
“Namun sehingga kini, selepas dua bulan pokok getah ditebang, peneroka masih belum terima sebarang pampasan daripada syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita.
Katanya penduduk pernah mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah bagi mendapatkan pengesahan berhubung aktiviti perlombongan di kawasan tersebut dan dimaklumkan pihak jabatan tidak mengetahui dan meluluskan sebarang aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.
“Justeru, saya menggesa kerajaan negeri agar melakukan siasatan terperinci berhubung perkara berkenaan kerana ia telah menjejaskan satu-satunya sumber pendapatan bagi penduduk,” katanya.
Hassan Mat Yusoff ,67, berkata dia sedih apabila sebahagian kebun getah yang diusahakannya musnah ditebang dalam tempoh beberapa bulan sahaja. — Bernama