Utusan Borneo (Sarawak)

Hasrat Annuar disambut baik, kata Ismail Sabri

-

KLUANG: Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyambut baik hasrat Tan Sri Annuar Musa untuk tidak menyambung kontrak sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia merupakan pengorbana­n Annuar merangkap Ketua Penerangan UMNO demi menumpukan usaha kepada parti dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Saya menyambut baik sebab saya tahu tujuan Tan Sri Annuar untuk tidak menyambung kontrak sebab beliau hendak teruskan tugas membantu parti memenangi PRU.

“Kita tahu PRU sudah semakin hampir dan Tan Sri Annuar sibuk dengan parti, saya nampak Tan Sri pusing satu negara. Ini merupakan pengorbana­n Tan Sri Annuar untuk memberikan tumpuan kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam, di sini semalam.

Beliau turut mengambil peluang mengucapka­n terima kasih kepada Annuar selama berkhidmat dengan MARA, sekali gus telah memberikan sumbangan besar kepada MARA dan orang Melayu.

Kelmarin, Annuar yang ditemui pemberita selepas berucap merasmikan Persidanga­n Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang, Terengganu dilaporkan berkata surat memohon pertimbang­an agar pelantikan semula tidak disambung itu dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu.

Annuar mencadangk­an kepada Presiden UMNO agar memberi peluang kepada pemimpin lain menjawat jawatan itu.

Ahli Parlimen Ketereh itu dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 dan disambung pada 12 Ogos 2015.

Bagaimanap­un jawatan beliau digantung Januari lepas berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak pasukan Kelantan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia