Utusan Borneo (Sarawak)

Jentera akar umbi diminta turun padang perjelas isu

-

KLUANG: Jentera akar umbi UMNO khususnya ketua cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri diminta supaya turun padang memberikan pelbagai penjelasan kepada rakyat bagi menangani persepsi negatif terhadap kerajaan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tugas mempertaha­nkan parti kini tidak boleh lagi diletakkan di bawah tanggungja­wab pemimpin pusat atau ketua bahagian sebaliknya di peringkat kepimpinan akar umbi.

“Kita (UMNO) ini macam sebuah pokok yang rimbun tetapi kalau akar tidak kuat, maka, pokok yang rimbun akan tumbang. Kekuatan UMNO bergantung pada akar umbi.

“Sebab itulah saya bagi tahu, pemimpin akar umbi mesti main peranan. Kalau ada fitnah, mereka mesti pertahan, jangan harap pemimpin Bahagian turun bagi penjelasan atau pemimpin pusat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam di sini semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Abd Hamid Abd Rahman.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata selain Pergerakan Wanita yang memainkan peranan menerusi Jalinan Rakyat (JR), Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO juga perlu memantapka­n penggunaan alam maya dalam menangkis dan melakukan serangan terhadap pembangkan­g.

Beliau berkata masih ter- dapat fitnah dilakukan pembangkan­g yang bukannya bertujuan mencari kebenaran sebaliknya sengaja mengeliruk­an rakyat.

“Contoh fitnah itu adalah isu- isu lapuk yang sudah berkali-kali dijelaskan di dalam Parlimen seperti 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB).

“Sebab itu penting bagi Pemuda dan Puteri memainkan peranan menerusi penggunaan teknologi alam maya... kita bukan sahaja mempertaha­nkan parti tetapi menyerang pembangkan­g,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia