Semua rumah ibadat dalam konstituensi Santubong akan dibantu
KUCHING: Semua rumah ibadat yang terletak dalam konstituensi Santubong akan dibantu menurut keperluan seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.
Ahli Parlimennya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya dengan tangan terbuka menyatakan kesudian bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Gereja, masjid, kuil Hindu dan tokong Cina adalah rumah ibadah masyarakat Malaysia dan perlu dijaga dan dibiayai kerana setiap agama membawa masyarakatnya ke hala tuju yang baik.
“Kita kena membangunkan kemudahan-kemudahan ini agar masyarakat Malaysia menjadi manusia yang baik dan percaya kepada Tuhan mengikut salah satu prinsip dalam Rukun Negara.
“Saya merealisasikan apa yang dikehendaki kerajaan yang terletak dalam perlembagaan negara. Ini bukan soal politik, kerana saya menyokong usaha-usaha dan hala tuju yang baik untuk masyarakat tidak kira apa bangsa dan agama mereka.
“Sememangnya saya berharap kita gunakan gereja dan rumah ibadah sebaik mungkin untuk mendidik anak bangsa kita menjadi manusia yang berguna dan berjaya kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Gereja St Nicholas Bandar Baharu Samariang,” di sini malam kelmarin.
Wan Junaidi yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar meminta Jawatankuasa Gereja St Nicholas Bandar Baru Samariang untuk menghantar surat permohonan bagi membaiki tembok gereja tersebut.
Beliau katanya, akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sejurus selepas mendapat surat permohonan daripada pihak gereja nanti.
Sementara itu, Wan Junaidi turut meluahkan rasa peng- hargaan terhadap kebijaksanaan dan pengalaman luas Biskop Anglikan Kuching Datuk Bolly Lapok yang akan bersara tidak lama lagi.
Beliau juga telah memberi sumbangan peribadi yang tidak mahu didedahkan berapa jumlahnya kelmarin.
Turut hadir isteri beliau, Datuk Seri Feona Wan Junaidi dan Sub Deacon Gereja St Nicholas Bandar Baharu Samariang Engachok Siong.