PKR kenal pasti hampir 90 peratus calon berpotensi bertanding PRU14
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mengenal pasti hampir 90 peratus calon berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Menurut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pemilihan calon itu bukanlah perkara mudah kerana parti itu mengutamakan calon daripada kalangan orang tempatan, iaitu mereka yang lahir di kawasan diwakili.
“Kita pun tahu, secara pragmatisme, kita harus berhati-hati dan bukanlah sesuatu yang mudah, namun kita menumpukan kepada pertarungan di peringkat Parlimen, walaupun ada juga beberapa kerusi tempatan yang kita minati.
“Tetapi bagi saya, menjelang PRU, pertandingan di peringkat Parlimen adalah yang paling penting dan tentunya kita akan menampilkan calon-calon yang berkaliber kerana kita mahu orang tempatan, khususnya diterima oleh pengundi, yang telah berjaya dan kembali untuk menawarkan bakti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Teh Tarik dan Borak Santai di Restoran Aroma Desa, Metrocity, di sini semalam.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengakui, meskipun bersemangat tinggi untuk berkompromi dan mencari penyelesaian satu lawan satu, pihaknya juga mengutamakan saranan daripada kepimpinan negeri.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan calon tersebut, jelasnya, proses rundingan diadakan secara berterusan namun terdapat perbezaan pendekatan antara negerinegeri Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.
“Jika di peringkat pusat, kita membawakan kerusikerusi negeri di Semenanjung, kita juga tidak mengganggu gugat kerana perbincangan rundingan berlangsung di peringkat negeri bagi Sabah dan Sarawak, sehubungan itu menghormati prinsip autonomi.
“Walaupun demikian, tentunya kita tetap mahu masyarakat tempatan yang akan menjadi wakil, mengikut prinsip dan sebagainya,” jelasnya.
Pada Program Teh Tarik dan Borak Santai anjuran Lawyer Kamek For Change itu, Nurul Izzah berkesempa- tan berkongsi cerita dengan kira- kira 100 orang yang hadir mengenai sejarah awal penglibatannya dalam bidang politik.
Nurul Izzah berada di negeri ini sejak kelmarin bagi menghadiri Majlis Silaturahim Bersama Keadilan Rumah Terbuka Majlis Pemimpin Negeri (MPN) yang berlangsung di pejabat PKR Cabang Petra Jaya, di sini.