50 penuntut UnisZA pelajari teknik terbaharu ternakan kambing tenusu
LIMA puluh penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bawah Program 2U2i di Diary Farm UnisZA di Bukit Marak, Hulu Besut, berpeluang mempelajari 21 jenis teknologi baharu dalam ternakan kambing tenusu.
Naib Canselor UnisZA Datuk Prof Ahmad Zubaidi A Latif berkata sepanjang dua tahun mengikuti kursus itu, mereka akan dilatih dalam pelbagai aspek penjagaan kambing tenusu melalui modul yang dibina oleh UnisZA sendiri.
“Dengan P & P yang akan diikuti, mahasiswa di bawah kelolaan pakar dari UnisZA dan beberapa universiti tempatan itu mampu untuk menjadi usahawan yang berjaya di masa depan,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran DairyFarm UniSZA di Bukit Marak, Hulu Besut, baru-baru ini.
Ahmad Zubaidi berkata antara lain, para pelajar akan mengikut pembelajaran berkaitan amalan ladang, produksi ruminan, pemakanan haiwan dan teknologi pemerosesan, teknologi pengeluaran tanaman dan teknologi pengeluaran haiwan.
Selain itu, mereka juga akan didedahkan kepada teknologi makanan, teknologi tenusu dan daging, agrostologi dan produk sejuk beku serta hortikultur asas dan komersial.
Beliau berkata pelajar yang menyertai kursus itu antara lain turut dilatih tentang asas pemasaran dan teknik pembiakan kambing tenusu, dengan menggunakan kambing jenis boer, seena, katjang serta jamnapari, sebagai induk. — Bernama