600,000 pengunjung melawat Festival Kebudayaan Borneo 2017
SIBU: Dianggarkan seramai 600,000 pengunjung datang melawat Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2017 yang diadakan dari 20 hingga 29 Julai lalu.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu ( MPS) Rogayah Jamain ketika mendedahkan perkara itu memberitahu, jumlah tersebut jauh lebih besar daripada direkodkan pada 2016.
“Respons dan sambutan daripada orang ramai sangat baik dan mereka mahukan lebih banyak elemen budaya diketengahkan.
“Mereka memberitahu terdapat peningkatan dari segi penganjuran acara berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ditanya sama ada MPS menganjurkan BCF pada skala lebih besar tahun depan, Rogayah berkata ia bergantung kepada peruntukan yang ada.
“Tetapi, apa yang pasti kami akan memperbaiki BCF dari semasa ke semasa seperti tarikan utama mereka ialah gerbang BCF.
“Gerbang tersebut menjadi lokasi utama perasmian BCF 2017 yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya.
Karim dalam ucapannya berkata festival ini merupakan medan terbaik mempamerkan budaya, warisan dan etnik yang berlainan di negeri ini.
Beliau berkata, ia diadakan bukan hanya untuk rakyat Sarawak tetapi semua sama ada rakyat Malaysia atau warga asing.
Karim juga menyatakan bahawa BCF adalah acara mempromosikan Sibu dan Sarawak secara dalaman dan luaran.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh. Kali pertama BCF dianjurkan pada 2002.